OPA berjaya tingkat paras air Empangan Muda

Ismail (kiri) ketika menyertai operasi pembenihan awan yang diadakan pada Selasa.
Ismail (kiri) ketika menyertai operasi pembenihan awan yang diadakan pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Operasi pembenihan awan (OPA) selama tiga hari bermula pada Isnin hingga Rabu berjaya meningkatkan paras air di Empangan Muda.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Stesen Hujan di Empangan Muda telah merekodkan bacaan sebanyak dua milimeter (mm) turunan hujan dalam kawasan tadahan empangan hasil daripada OPA pada Selasa.

Menurutnya, terdapat peningkatan isipadu aliran kemasukan air ke Empangan Muda sebanyak 1,037 ekar kaki berbanding purata harian, iaitu 416 ekar kaki sebelum pelaksanaan OPA.

“MADA masih menilai keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan OPA memandangkan masih diteruskan pada hari ini,” katanya di sini pada Rabu.

Ismail memaklumkan, setakat Rabu, status keseluruhan kedudukan semasa takungan air di tiga empangan seliaan MADA adalah sebanyak 539,786 ekar kaki bersamaan 44.14 peratus.

Operasi pembenihan awan yang dilakukan di kawasan tadahan Empangan Pedu dan Muda.
Operasi pembenihan awan yang dilakukan di kawasan tadahan Empangan Pedu dan Muda.

“Ia merangkumi kapasiti takungan Empangan Pedu sebanyak 347,420 ekar kaki bersamaan 39.71 peratus, Empangan Muda (10,050 ekar kaki) bersamaan 8.04 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 182,316 ekar kaki atau 81.76 peratus,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan OPA yang dilakukan di negeri ini berhasil dalam meningkatkan takungan empangan agar kembali kepada paras semasa atau kekal.

Artikel Berkaitan:

“Paras semasa Empangan Pedu ialah 85.33 meter dan paras kekal pada 67.06 meter. Untuk Empangan Muda paras semasa (86.09 meter) dan paras kekal (82.30 meter),” ujarnya.

Tambahnya, OPA yang dilakukan di kawasan tadahan Empangan Pedu dan Muda menggunakan pesawat C130 Hercules.

Operasi pembenihan awan dilakukan dengan menggunakan pesawat C130 Hercules.
Operasi pembenihan awan dilakukan dengan menggunakan pesawat C130 Hercules.

“OPA tersebut menggunakan kaedah semburan larutan garam, di mana 200 kilogram (kg) garam dilarutkan bersama 1,500 liter air bagi setiap tong. Sebanyak empat tong digunakan bagi operasi tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penanaman padi di kawasan MADA tidak terjejas biarpun takungan empangan mengalami penyusutan ekoran cuaca panas.

“Tiada kawasan padi yang terpaksa menghentikan proses tanaman mahupun aktiviti berkaitan setakat ini. Aktiviti menanam sudah mencapai 99.3 peratus, iaitu seluas 99,963.9 hektar setakat Rabu dan bekalan air untuk musim penanaman mencukupi.

“Kawasan padi yang sudah berbunga dianggarkan sekitar 4,051.8 hektar dan sebanyak 0.10 peratus atau keluasan 67.4 hektar telah mencapai peringkat masak. Aktiviti menuai sebanyak 0.10 peratus dengan keluasan 60.4 hektar,” jelasnya.

Beliau berkata, sumber air utama pengairan padi bagi musim 1/2024 adalah daripada pelepasan empangan dan ketika kini, MADA telah melepaskan 3,100 kaki padu sesaat dari Empangan Pedu bagi tujuan pengairan, domestik dan industri.

“Berdasarkan status kemajuan aktiviti penanaman padi, dianggarkan baki keperluan bekalan pengairan untuk penanaman musim 1/2024 adalah sebanyak 229,216 ekar kaki.

“Kita akan pastikan pengairan untuk tanaman mencukupi dan jika petani berdepan masalah, mereka diminta segera maklumkan pada pihak MADA,” katanya.

Ismail berkata, jumlah keseluruhan takungan air masih mampu memenuhi keperluan dan mencukupi bagi tujuan pengairan tanaman padi bagi musim ini termasuk untuk kegunaan domestik dan industri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!