Amaran keras sebar agama bukan Islam - Exco Melaka

Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita didakwa mempromosikan agama bukan Islam di depan Surau Warisan Dunia, Banda Hilir pada Sabtu lalu.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita didakwa mempromosikan agama bukan Islam di depan Surau Warisan Dunia, Banda Hilir pada Sabtu lalu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan provokasi dengan menyebarkan agama lain selain agama Islam di negeri itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, insiden yang berlaku di depan bangunan Surau Warisan Dunia, Banda Hilir di sini, pada Sabtu lalu perlu dipandang serius dan merupakan satu kesalahan bagi agama lain menyebarkan untuk orang Islam.

Menurutnya, ketika kejadian itu, beberapa orang awam menegur perbuatan wanita dipercayai mempromosikan agama bukan Islam sebelum individu itu akur lalu menghentikan aktiviti tersebut dan meninggalkan lokasi kejadian.

Katanya, pihak polis juga telah membuat semakan dengan gereja-gereja berhampiran lokasi kejadian namun masih tidak diketahui pihak yang bertanggungjawab membuat provokasi itu.

"Malah semakan dengan polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tiada laporan polis yang diterima.

"Saya mohon juga mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu supaya membuat laporan polis bagi membolehkan polis menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Terdahulu tular video berdurasi 16 saat yang memaparkan tiga individu membuka reruai dipercayai untuk mempromosikan kursus percuma Bible.

Berdasarkan video yang dirakam pengayuh beca itu, dia mempersoalkan apakah niat dan kewajaran kumpulan itu membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau pelancongan ikonik Melaka itu.

Artikel Berkaitan:

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kesalahan itu terdapat dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Bukan Islam kepada orang Islam Negeri Melaka 1988 1/88.

Ujarnya turut mengingatkan kepada agama-agama lain supaya tidak membuat aktiviti dakwah di hadapan premis bangunan surau ataupun masjid milik orang Islam kerana merupakan sensitiviti yang perlu diambil perhatian.

"Pemantauan yang dilakukan pada hari berikutnya memang tidak ada lagi aktiviti tersebut.

"Saya mengulangi agama-agama lain sentiasa melihat sensitiviti perkauman di negeri ini," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!