IJN perkenal teknologi senaman pulih pesakit jantung

Dr Aizai (kiri) mencuba alat senaman dengan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager di IJN, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dr Aizai (kiri) mencuba alat senaman dengan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager di IJN, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan pusat rehabilitasi pertama di Asia dilengkapi teknologi senaman pneumatik terkini gabungan teknologi Jerman, Finland dan Belanda bagi merawat dan memulihkan pesakit jantung.

Berbeza dengan peralatan senaman lain, program Hur & Lode Cardiac Rehab Manager menggunakan dua jenis peralatan senaman yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan berkata, senaman di pusat rehabilitasi itu menggunakan peralatan senaman treadmill dan basikal kecergasan.

“Senaman pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk mencipta rintangan untuk memberikan pengalaman senaman yang lebih lancar dan terkawal.

“Rintangan udara menjadikan senaman lebih mudah memandangkan teknologi ini mampu mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan.

"Teknologi ini sesuai untuk mereka yang pulih daripada masalah jantung dengan mengambil kira keperluan dan kebolehan untuk melakukan senaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Hur & Lode Cardiac Rehab Manager di IJN pada Rabu.

Jelasnya, teknologi HUR SmartTouch berkenaan membolehkan tahap pemulihan pesakit direkod dan disimpan.

Artikel Berkaitan:

“Bukan sahaja untuk mereka yang dirawat, program ini juga sesuai untuk mencegah dari terkena penyakit jantung kerana mesin ini dilengkapi program pengawasan degupan jantung, tekanan dan oksigen dalam darah ketika proses senaman dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, selain pemulihan fizikal program rehabilitasi yang dijalankan di IJN turut meliputii pemulihan emosi dan pemakanan.

“Pusat ini memberikan informasi kepada pesakit mengenai gaya hidup sihat termasuk memahami pengurusan ubat, mempelajari teknik pengurangan tekanan dan perancangan hidangan berkhasiat.

“Kita mahu melengkapkan pesakit dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memperolehi jantung yang sihat selepas proses pemulihan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!