BRICS bukan organisasi bersifat 'anti-barat'

Mohamad Hasan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Mohamad Hasan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Blok Ekonomi Organisasi Antara Kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang hendak disertai Malaysia bukanlah sebuah organisasi yang bersifat 'anti-barat', kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, banyak negara anggota BRICS tetap mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara Barat, dan adalah penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan untuk menjalin hubungan baik dengan semua negara, dalam usaha meneroka peluang-peluang perdagangan dan pelaburan baharu.

"Kerajaan melihat bahawa penglibatan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil, dan berdaya tahan.

"Di samping itu penyertaan Malaysia dalam BRICS diyakini dapat memberikan nilai tambah kepada negara, terutamanya melibatkan isu-isu pembangunan dan ekonomi global, serta kepentingan-kepentingan lain bagi negara-negara membangun," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu adakah hasrat penyertaan Malaysia ke dalam BRICS ini selari dengan pendirian dan dasar luar Kerajaan yang selama ini sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua negara.

Mohamad berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia bebas menyertai apa jua organisasi antara kerajaan yang sesuai dan bermanfaat kepada negara, selaras dasar luar Malaysia yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

"Penyertaan dalam BRICS adalah selari dengan pendekatan dasar luar Malaysia yang mendukung konsep multilateralisme bagi menangani pelbagai cabaran global yang mendesak.

"Ini terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Kumpulan 77 (G-77)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, penyertaan dalam BRICS membolehkan Malaysia memberikan sumbangan demi kebaikan masyarakat antarabangsa di samping suara akan lebih didengari di persada dunia.

"Untuk tujuan ini, Malaysia akan menggandakan usaha bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang berkepentingan lain, termasuk dalam sektor berteknologi tinggi, seperti transformasi digital, kecerdasan buatan dan semikonduktor.

"Malaysia yakin bahawa penglibatan negara dalam BRICS tidak menjadi halangan kepada jalinan hubungan dan kerjasama yang baik dengan mana-mana negara, termasuk negara-negara Barat," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!