Bunuh pemimpin Hamas tindakan kurang bijak - Nadir Al-Nuri

Muhammad Nadir Al-Nuri.
Muhammad Nadir Al-Nuri.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Zionis menyasarkan pemimpin kumpulan Hamas disifatkan sebagai satu tindakan kurang bijak rejim tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, ia kerana perbuatan itu akan membangkitkan lagi semangat rakyat seluruhnya untuk turut sanggup dikorbankan.

"Penjajah yang mengaku negaranya hebat sebagai pusat pelbagai kajian dan menghasilkan teknologi ternyata tidak belajar bahawa mensasarkan kepala pimpinan Hamas mengangkat darjat serta mencetus semangat sehingga rakyat seluruhnya turut sanggup dikorbankan untuk diangkat bersama-sama

"Saya meneliti satu kajian yang menarik berkaitan cara menghapuskan Hamas di Gaza yang menyebutkan bahawa kaedah genosid dilakukan Israel pada saat ini jauh tersasar. Pengkaji Audrey Kurth Cronin menjalankan kajian ke atas 457 organisasi pengganas untuk melihat bagaimana ia berakhir.

"Dia menulis bahawa terdapat enam cara organisasi ini menamatkan atau ditamatkan riwayatnya, antaranya ialah bila misi organisasi tercapai seperti Irgun dan Haganah yang diasakan penjajah sendiri sebelum 1948 sebagai salah satu cara mendapatkan sokongan menguasai Palestin. Irgun berhenti beroperasi setelah kemenangan 1948, Haganah berhenti dan diubah menjadi IDF," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Muhammad Nadir, kaedah yang agak berkesan ialah pembantaian melalui ketenteraan seperti yang dibuat ke atas ISIS.

Ujarnya, kaedah yang digunakan sejak dahulu sehingga kini ke atas Hamas disebut sebagai kaedah ‘chopping off the snakes head’ iaitu membunuh pimpinan utama organisasi.

"Pengkaji menyebutkan bahawa kaedah ini akan berpotensi tinggi gagal apabila digunakan untuk menghapuskan organisasi yang besar dan berstruktur selain mempunyai sistem perkaderan yang kemas. Hamas menepati ciri-ciri ini.

Artikel Berkaitan:

"Setiap masjid di Gaza menjadi tempat perkaderan penggerak baru sejak usia kecil, dibangunkan lalu berbaiah dengan panji dan asas sama, diserap serta dilatih dalam tangga kepimpinan teratur malah diajar bahawa perjuangan lebih utama daripada individu," katanya.

Jelas beliau, Israel cukup tahu perkara tersebut kerana mereka telah ‘memenggal kepala pimpinan’ sejak sekian lama seperti Ahmad Yassin, Abdul Aziz Ar-Rantisi, Ibrahim Maqadimah, Nizar Rayyan, Ahmad Ja’bari dan ratusan yang lain tanpa membuahkan hasil.

Tambahnya, malah terbukti kehilangan seorang pemimpin tangkas digantikan dengan pimpinan baharu yang lebih teguh dan dinamik di mana Ismail Hanyyh sendiri adalah orang kanan Syeikh Ahmad Yassin sejak usia mudanya.

"Kerana penjajah ternyata bodoh maka saya kongsikan dapatan kajian sama, cara paling berkesan memusnahkan Hamas di Gaza adalah dengan membuktikan kepada rakyatnya bahawa ada alternatif yang lebih baik kepada Hamas itu sendiri.

"Sekiranya Hamas ditolak, pembangunan pesat boleh dicapai, keamanan boleh digapai, masa depan kalian dan anak-anak akan dibelai. Ia terbukti berjaya apabila pungutan suara membuktikan bahawa sebelum 7 Oktober sokongan kepada Hamas agak rendah kerana anak muda khususnya mencari alternatif.

"Ia juga terbukti apabila penduduk Palestin 1948 di dalam Israel itu sendiri reda untuk terus berada di bawah penjajahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!