Rasuah Busters, KPS jelajah anti-rasuah di lima sekolah

Peserta bergambar bersama penganjur pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di SMK Putrajaya Presint 9 (2)
Peserta bergambar bersama penganjur pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di SMK Putrajaya Presint 9 (2)
A
A
A

PUTRAJAYA - Rasuah Busters dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad meneruskan inisiatif pendidikan anti-rasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah dengan melibatkan lima sekolah terpilih di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, sektor pendidikan menawarkan peluang dan pintu masuk penting untuk usaha jangka panjang anti-rasuah.

Ujarnya, hubungan tiga penjuru melalui kerjasama sektor korporat, masyarakat sivil dan orang awam membuka peluang besar agar ekosistem bebas rasuah bermula daripada segenap aspek.

"Kolaborasi ini simbol tanggungjawab menyelamatkan masa depan Malaysia daripada rasuah adalah beban akauntabiliti ke semua pihak yang harus dipikul bersama dengan amanah dan ikhlas.

"Sasarannya adalah perubahan jangka panjang, bukan sekadar memperolehi ilmu tetapi juga pembentukan sahsiah mulia dengan usaha kolektif," katanya.

Nurhayati ditemui Sinar Harian pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Penolong Pengurus Perhubungan Pelabur, Kemampanan dan Komunikasi KPS, Mohamad Farhan Mohd Zain dan Pengetua SMK Putrajaya Presint 9 (2), Mazira Mohd Zain.

Artikel Berkaitan:

Mazira Mohd Zain
Mazira Mohd Zain

Program yang diadakan dari 31 Julai hingga 20 Ogos ini menyasarkan lebih 3,000 pelajar untuk meningkatkan kesedaran kepentingan integriti dan menolak rasuah.

Lima sekolah terbabit termasuk tiga di Shah Alam iaitu SMK Seksyen 7, SMK Seksyen 19 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah selain SMK Taman Kosas, Ampang serta SMK Presint 9 (2), Putrajaya.

Nurhayati mengulas lanjut berkata, mengawal rasuah memerlukan pelbagai pendekatan interviensi yang konsisten.

Ujarnya, memetakan risiko rasuah yang boleh dikawal di peringkat awal lagi adalah antara kaedah membendung budaya dan normalisasi rasuah.

Justeru ujarnya, jalinan usaha sama Rasuah Busters dan KPS adalah langkah penting untuk pendidikan integriti dijadikan agenda penting dalam agenda korporat juga dan pendidikan tentang kejujuran.

"Amanah ini menjadi kunci kepada sebuah pembangunan ekonomi negara yang bersaing sihat dan bebas rasuah di masa akan datang," ujarnya lagi.

Sementara itu, Mazira berkata, semua pihak mendukung aspirasi Perdana Menteri untuk mencapai kedudukan 25 terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Jelasnya, pembentukan watak dan budaya cegah rasuah pada usia muda adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang berani menolak rasuah.

"Jika ia bermula pada tahap remaja ini mereka sudah sedar dan bila dibawa ke universiti dan juga peringkat alam pekerjaan mereka akan lebih memahami bahawa perkara itu (rasuah) adalah salah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!