OIC kecam pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

Ismail Haniyeh. Foto Fail AFP
Ismail Haniyeh. Foto Fail AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Dalam kenyataan akhbar yang dipetik daripada laman sesawang rasminya, OIC menyampaikan ucapan takziah kepada kepimpinan dan rakyat Palestin, termasuk meminta pihak berkuasa Israel bertanggungjawab atas tindakan jenayah ini.

Ia berkata, peningkatan berbahaya ini mewakili lanjutan daripada pembunuhan harian yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dalam pelanggaran terang-terangan terhadap semua norma, piagam dan undang-undang antarabangsa.

"Pertubuhan ini juga menegaskan pendiriannya yang tegas dalam menyokong rakyat Palestin dalam perjuangan sah mereka untuk memperoleh hak-hak mereka yang tidak boleh dinafikan iaitu kepulangan, kebebasan, kemerdekaan,

Termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka di sempadan 4 Jun 1967 dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu kotanya,” kata OIC.

Hamas mengumumkan awal pagi Rabu bahawa ketua biro politiknya Ismail Haniyeh telah dibunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran, lapor Agensi Anadolu.

"Hamas bersedih bersama-sama rakyat Palestin yang hebat, negara-negara Arab dan Islam, dan semua orang yang bebas di dunia, saudara, pemimpin, syahid, Mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan, yang dibunuh dalam serangan Zionis ke atas kediamannya di Tehran selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran,” katanya dalam satu kenyataan di Telegram.

Televisyen negara Iran juga melaporkan kematian Haniyeh, sambil menyatakan bahawa siasatan terhadap pembunuhan itu sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Israel belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai insiden itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!