Pembunuhan Ismail Haniyeh: Malaysia perlu bentuk referendum desak tindakan tegas terhadap Israel
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membentuk referendum bagi mendesak dunia mengenakan tindakan tegas terhadap Israel atas pembunuhan kejam yang dilakukan terhadap Ismail Haniyeh
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais berkata, referendum yang dibentuk itu perlu melibatkan pemimpin dan rakyat negara Islam dunia.
“Kesepakatan di antara rakyat pelbagai bangsa tanpa mengira ideologi politik perlu menyokong usaha ini bagi membela kematian pemimpin Hamas itu dan seterusnya menamatkan penaklukan haram Israel ke atas Palestin.
“Ismail Haniyeh, seorang pemimpin yang telah lama memperjuangkan hak rakyat Palestin. Beliau bukan sahaja telah menjadi suara bagi mereka yang tidak didengari, tetapi juga telah berusaha untuk meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan rakyatnya di tengah-tengah konflik dan tekanan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, kepemimpinan dan dedikasi Ismail akan terus diingati dan menjadi inspirasi bagi generasi yang akan datang.
“Pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi rakyat Palestin dan menandai satu bab suram dalam perjuangan mereka untuk kemerdekaan dan kedaulatan.
“Kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan keluarganya diberi kekuatan dalam menghadapi masa yang mencabar ini,” katanya.
Mahathir berkata, perdana menteri perlu berterusan memberikan isyarat jelas bahawa tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini tidak dapat diterima dan tidak memberikan sebarang manfaat malah boleh membawa mudarat.
“Sebagai negara Islam, tindakan Israel sudah melampui batas kemanusiaan selepas rakyat palestin di serang tanpa belas kasihan, kini rejim itu beralih menyerang pimpinan Hamas yang dianggap mendatangkan ancaman kepada mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!