Tipu pelaburan: BNM sita barangan mewah, 92 akaun bank babit nilai lebih RM30 juta

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 92 akaun bank dianggarkan berjumlah RM25.4 juta dibeku hasil serbuan 12 premis di sekitar Lembah Klang pada Selasa, dipercayai terlibat dalam jenayah tipu pelaburan.

Operasi itu dijalankan bersepadu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah penyelarasan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

BNM dalam kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap syarikat pelaburan terbabit serta beberapa entiti lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan jenayah kewangan.

Katanya, kesemua dokumen berkaitan serta aset termasuk emas, wang tunai berjumlah kira-kira RM4.85 juta telah dirampas.

"Operasi turut merampas sejumlah mata wang asing, mata wang kripto, kereta serta barangan mewah.

“Selain itu, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti deposit selamat turut dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya pada Rabu.

Tambah BNM, entiti tersebut sebelum ini telah disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan BNM pada 14 Jun tahun lalu.

Katanya, antara kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA); Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967; Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Artikel Berkaitan:

“Operasi serbuan ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama antara agensi yang berterusan untuk membanteras jenayah kewangan di Malaysia," ujarnya.

Menurutnya, di bawah bidang kuasa BNM, sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, sabitan di bawah Seksyen 4(1) AMLA membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bersama-sama denda sekurang-kurangnya lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

“Orang ramai digesa untuk terus berwaspada dengan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Penglibatan dalam mana-mana syarikat yang tidak berlesen atau tidak berdaftar boleh menyebabkan seseorang dianggap sebagai bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!