Dua lelaki pukul dua penunggang motosikal guna kayu besbol diburu

Suspek bertindak memukul mangsa dan rakannya itu dengan menggunakan kayu besbol. Gambar hiasan 123RF.
Suspek bertindak memukul mangsa dan rakannya itu dengan menggunakan kayu besbol. Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

KLANG - Dua lelaki diburu selepas dipercayai memukul dua penunggang motosikal menggunakan kayu besbol dalam satu kemalangan dekat Jalan Dato Abdul Hamid, Taman Sentosa di sini, 22 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa bersama rakannya sedang menunggang motosikal di lokasi terbabit sebelum itu dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz berwarna biru.

"Pelanggaran mengakibatkan kedua motosikal yang ditunggang mangsa dan rakannya itu rosak sebelum berlaku pertengkaran antara mereka dengan pemandu kereta berkenaan.

"Dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba di lokasi kejadian sebelum salah seorang suspek bertindak memukul mangsa dan rakannya itu dengan menggunakan kayu besbol," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, kejadian mengakibatkan dua mangsa berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan.

"Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan berkaitan kejadian.

"Polis mengenal pasti dua lelaki dipercayai terlibat dan usaha mengesan kedua-dua suspek ini sedang giat dijalankan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dikenal pasti merupakan lelaki warga tempatan masing-masing berumur 30 dan 32 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali suspek diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.

End.....

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!