Olimpik Paris: Zii Jia mara ke pusingan kalah mati

Zii Jia mengungguli Kumpulan G selepas menewaskan pemain Sepanyol di Paris pada Rabu. Foto MOM
Zii Jia mengungguli Kumpulan G selepas menewaskan pemain Sepanyol di Paris pada Rabu. Foto MOM
A
A
A

PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan kalah mati perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Kejayaan tersebut diraih selepas juara Terbuka Thailand itu membenam cabaran pemain berusia 39 tahun, Pablo Abian di Porte de la Chapelle Arena.

Zii Jia yang berstatus ketujuh dunia tenang memulakan momentum positif mengatasi lawan 21-10 pada set pertama.

Memasuki set kedua Abian yang berada di kedudukan ke-63 dunia cuba memberi tentangan sengit, namun segera dipintas Zii Jia untuk mengesahkan kemenangan 21-13 dalam aksi selama 34 minit.

Menerusi kemenangan itu membolehkan Zii Jia mengungguli Kumpulan G selepas menewaskan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka pada aksi pertama Ahad lepas.

Berdasarkan format pertandingan, juara kumpulan dalam acara perseorangan layak meraih tiket ke saingan 16 terbaik.

Pada pusingan kalah mati Zii Jia bakal berdepan juara Kumpulan H sama ada Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia atau pemain tuan rumah, Toma Junior Popov.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!