Malaysia keempat tawar ganjaran lumayan pemenang emas Olimpik

Senarai 10 negara yang menawarkan wang besar buat pemenang emas Olimpik. Foto Seasia Stats.
Senarai 10 negara yang menawarkan wang besar buat pemenang emas Olimpik. Foto Seasia Stats.
A
A
A

MALAYSIA berada dalam kelompok 10 teratas yang menawarkan insentif tertinggi buat pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Kontinjen negara berada di kedudukan keempat dengan imbuhan sebanyak AS$214,000 (RM986,251) dalam misi menamatkan penantian pingat emas pertama Malaysia, lapor Forbes.

Bagaimanapun Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan pemenang emas akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Memimpin carta teratas pemberian durian runtuh paling besar ialah Hong Kong iaitu sebanyak AS$768,000 (RM3.5 juta), diikuti Israel, AS$275,000 (RM1.26 juta) dan ketiga Serbia AS$218,000 (RM1 juta).

Berada di tangga kelima di bawah Malaysia ialah Itali AS$196,000 (RM903,356) disusuli Lithuania AS$182,000 (RM838,885) dan ketujuh Moldova AS$171,000 (RM788,162).

Latvia pula berada di kedudukan kelapan menerusi imbuhan sebanyak AS$155,000 (RM714,416) diikuti Hungary AS$154,000 (RM709,840) dan menghuni tempat ke-10 ialah Bulgaria dengan insentif AS$139,000 (RM640,700).

Selain habuan RM1 juta itu, pemenang pingat emas pertama negara juga berpeluang meraih RM1 juta dari Yinson Holdings Berhad.

Turut menyumbang ialah Matrix Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre masing-masing akan memberikan sejumlah RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Namun, sekiranya terdapat lebih daripada seorang pemenang, hadiah berkenaan akan dikongsikan bersama.

Pengendali rangkaian mudah alih redONE Mobile (redONE) turut bermurah hati apabila menawarkan RM1 juta yang akan dibayar secara ansuran bulanan dalam tempoh 10 tahun untuk memastikan sokongan jangka panjang kepada atlet berkenaan.

Senheng New Retail Bhd (Senheng) turut menyediakan hadiah wang tunai RM1 juta kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016 jika mereka berjaya meraih emas.

Selain wang tunai, atlet yang memenangi emas turut akan membawa pulang sebuah pangsapuri mewah di Setia Alam bernilai RM1 juta yang disumbangkan Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove serta pemilik Top Residency.

Pengeluar kereta dari China, Chery Malaysia turut tampil dengan hadiah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!