Terpedaya kerja sambilan di Telegram, suri rumah rugi RM203,981

 Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat seorang suri rumah ingin mendapatkan pendapatan sampingan lebur apabila dia terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000.

Difahamkan mangsa menerima pesanan menerusi Telegram mengenai kerja sambilan dan perlu memasukkan sejumlah wang ke akaun sebelum mendapat komisen daripada kerja berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkait dengan modus operandi sindiket penipuan itu pada Rabu.

"Mangsa adalah seorang wanita yang juga suri rumah berusia 38 tahun dan telah berurusan melalui aplikasi Telegram dengan individu yang tidak dikenali.

"Dia kemudiannya menyertai kerja sambilan secara dalam talian serta membuat pindahan wang sebanyak 19 transaksi bermula 4 April hingga 27 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Hatta berkata, mangsa dipercayai menggunakan wang miliknya sendiri dan meminjam wang daripada ahli keluarga.

"Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM203,981.85. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada tawaran kerja sambilan secara atas talian dan diminta segera membuat semakan daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!