TPM bangga semangat juang tinggi Jin Wei
TIMBALAN Perdana Menteri meluahkan rasa kagum dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei biarpun terpaksa melupakan saingan Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Rabu.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan pemain berusia 24 tahun itu sebagai seorang atlet yang 'liat' untuk ditewaskan.
Jin Wei yang menghuni ranking ke-32 dunia itu tumpas kepada Kim Ga-eun dari Korea Selatan dalam aksi lebih sejam di Porte de la Chapelle Arena.
"Persembahan yang cukup mantap oleh Goh Jin Wei, melalui tiga set yang benar-benar sengit. Ada yang tengok tadi?
"Tak apa Jin Wei. Walaupun tewas dengan pemain perseorangan dari Korea, Kim Ga-eun, kami rakyat Malaysia cukup berbangga dengan keazaman yang ditunjukkan.
"Ternyata anda bukan seorang lawan yang mudah untuk ditundukkan," catat beliau menerusi Facebook pada Rabu.
Ahmad Zahid juga optimis Jin Wei mampu lebih menyerlah di pentas antarabangsa pada masa depan.
"Yakinlah, meskipun bukan hari ini, masa untuk kamu menyinar di pentas antarabangsa nanti pasti akan tiba. Anda sudah membuat yang terbaik Jin Wei. Kami berbangga dengan anda," katanya.
Dalam aksi itu, Ga-eun mengungguli set pertama menerusi kemenangan 21-17, namun tanpa kehadiran jurulatihnya, Nova Armada, Jin Wei enggan mengalah apabila mengikat kedudukan 22-20.
Bagaimanapun kebangkitan Jin Wei gagal diteruskan pada set penentuan apabila lawan dari negara Kimchi itu mengesahkan kemenangan 23-21 untuk mara ke pusingan kalah mati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!