Kitar semula masih belum jadi budaya

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEMPEN kitar semula dipupuk sejak awal 90-an, namun dlihat masih gagal dijadikan sebahagian budaya hidup rakyat Malaysia.

Majoriti isi rumah dalam negara ini tidak mengambil berat kepentingan pengasingan sisa, susulan sudah terbiasa dengan cara lama mencampur aduk sampah domestik dan kitar semula dalam satu plastik.

Entah di mana silapnya amalan kitar semula belum lekat dijiwa rakyat Malaysia walaupun pelbagai kempen dan kemudahan disediakan sebagai galakan kepada penjagaan alam sekitar itu.

Jika lihat Korea dan Jepun, rakyatnya begitu disiplin mengasingkan sisa sampah mengikut jenis plastik, kotak dan tin tetapi kenapa itu tidak berlaku di Malaysia?

Saban tahun dikhabarkan timbunan sampah kian membukit, ia didorong oleh kepesatan pembangunan di samping pembukaan sektor ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan statistik kutipan sampah setiap tahun.

Malah sisa barangan elektrik dan elektronik (e-waste) saja diibarat sudah setinggi menara ikonik KLCC, namun perkara itu ibarat dipandang sepi.

Program kitar semula juga rancak dijalankan di sekolah dengan meminta pelajar membawa barang kitar semula.

Selain itu, program kitar semula juga diterapkan peringkat sekolah melalui penghasilan barangan berasas barangan terpakai selain idea kreatif menghiasi landskap sekolah seperti replika bendera Malaysia menggunakan botol yang biasa dilihat ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

Meskipun diberikan pendidikan awal peringkat sekolah, namun amalan ini masih sukar diamalkan di rumah masing-masing.

Pelbagai inisiatif lain turut diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran seperti larangan plastik di pasar raya beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengurangkan sisa plastik di tapak pelupusan sampah.

Namun sejauh mana keberhasilannya tidak dapat dipastikan, yang pasti kebanyakan pengguna lebih rela membayar 20 sen jika daripada membawa beg sendiri dari rumah.

Tidak cukup itu, beberapa pusat dan mesin kitar semula juga turut diperkenalkan bagi memudahkan pengguna membuat pembuangan barangan itu yang ada antaranya turut diberikan ganjaran mengikut berat.

Begitu juga dengan program pengumpulan minyak masak terpakai dan juga kempen pembuangan e-waste dengan cara betul di lokasi-lokasi disediakan.

Bagaimanapun, adakah sebahagian daripada rakyat Malaysia sudah beralih kepada amalan kitar semula secara keseluruhan?

Adakah rakyat Malaysia sudah boleh menguruskan pembuangan sampah dengan cara betul?

Jawapannya tidak, dapat dilihat tiada pengasingan sampah dilakukan di tong sampah utama.

Akan kelihatan pekerja pembersihan menggeledah sampah untuk mencari botol dan plastik ini untuk dikumpulkan kemudian dijual untuk pendapatan sampingan.

Setiap rakyat Malaysia seharusnya mempunyai pemikiran waste is money iaitu setiap sampah yang dibuang mempunyai nilai.

Setiap sampah yang dihasilkan memerlukan kos pengurusan untuk pembersihan, tenaga kerja dan penyediaan tapak pelupusan.

Dengan adanya langkah kitar semula, ia sedikit sebanyak meringankan kos pengurusan itu dan pada masa sama boleh menghasilkan duit melalui pemprosesan semula bahan itu untuk kegunaan lain.

Sebagai contoh plastik boleh hasilkan produk bio apabila ia diproses semula manakala minyak masak terpakai boleh menghasilkan produk lain iaitu biodiesel.

Selain kitar semula plastik, kertas dan botol, sisa makanan juga boleh diproses menjadi baja kompos serta gas melalui pusat Anaerobic Digester (AD) yang terdapat di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sudah tiba masa amalan kitar semula ini diamalkan secara paksa rela melalui penguatkuasaan.

Kerajaan perlu mengambil langkah drastik menggunakan kaedah yang cepat dan berkesan untuk ubah pemikiran rakyat Malaysia mengamalkan kitar semula secara menyeluruh.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!