Lesen media sosial sekat kebebasan bersuara?
KEMATIAN seorang pempengaruh media sosial yang tertekan akibat dibuli pengguna TikTok sejak Mei lalu, mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memaklumkan, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk daripada aspek perundangan dan penguatkuasaan.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula hari ini.
Langkah terbaharu kerajaan ini mendapat reaksi pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dan ada pula sebaliknya. Masing-masing mempunyai pandangan dan hujah yang tersendiri.
SOKONG
Syarat lesen bukan sekat kebebasan bersuara tetapi kawal media sosial
Pengenalan lesen-lesen tertentu untuk mengawal atau mengekang tindakan yang mencetus kebencian, provokasi, mempunyai elemen fitnah dan penghinaan kepada individu tertentu atau mana-mana pihak, tidak boleh disifatkan sebagai menyekat kebebasan bersuara.
Namun, sekiranya ia menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum, maka sekatan itu wajar.
Lesen bagi perkhidmatan media sosial pertama kali ingin diperkenalkan di negara ini namun sudah banyak negara mewujudkan undang-undang seumpama ini bagi mengawal kebebasan ruang media sosial.
Seluruh dunia telah membuat kawalan terhadap perkhidmatan media sosial berdasarkan konteks kontemporari, masalah-masalah dan cabaran yang dihadapi dalam kalangan demografi penduduknya.
Ia pada masa yang sama turut memberikan impak terhadap pembangunan sosio ekonomi rakyat termasuk politik.
Di negara ini, kerajaan perlu melakukan kajian untuk mewujudkan lesen perkhidmatan media sosial mengikut kategori penggunaannya, kerana di Malaysia, platform media sosial digunakan oleh kategori usia dan trend yang berbeza.
Jadi, bagaimana dan dari mana kerajaan perlu bermula jika ingin mewujudkan lesen perkhidmatan media sosial dan pesanan internet ini. Aspek ini penting.
Sekarang, terdapat undang-undang buli siber dan ia amat dialu-alukan tetapi pada masa sama, perlu ditambah baik selari dengan perkembangan semasa.
- Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy
BANGKANG
Garis panduan perlu jelas, jangan cabuli hak asasi manusia
Saya berpandangan, kerajaan perlu memastikan bahawa pengenalan lesen atau pemantauan ini tidak mencabuli hak asasi manusia dari segi hak kebebasan bersuara, maklumat dan sebagainya.
Perlu ada keseimbangan di antara hak individu untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat dengan hak untuk tidak memangsakan kumpulan-kumpulan yang mudah terpengaruh.
Kita masih menunggu apakah bentuk kawalan yang hendak dibuat dan bagaimanakah garis panduan yang akan disediakan.
Kita berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan beberapa pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain pihak-pihak berkaitan bagi memastikan garis panduan yang jelas atau pemantauan yang hendak dibuat ini tidak mencabuli hak asasi manusia.
Sebenarnya ia merupakan salah satu langkah pemantauan oleh SKMM untuk memastikan pihak yang terlibat lebih bertanggungjawab.
Maknanya, mana-mana pihak yang membuat aplikasi dan laman web rasmi tertentu, perlu bertanggungjawab jika berlaku sesuatu, contohnya kegiatan jenayah seperti penipuan, scammer dan sebagainya.
Jadi kerajaan melihat bahawa terdapat keperluan untuk memastikan sesiapa pun yang ingin mengoperasikan satu-satu aplikasi itu supaya memohon lesen dan ia sangat penting.
- Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!