Konflik Israel-Palestin dijangka terus meningkat

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh bukan sahaja akan meningkatkan lagi suhu konflik antara Palestin dan Israel, sebaliknya akan turut melibatkan kumpulan pejuang Hizbullah dan Iran.

Penganalisis Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed turut menjangkakan pembunuhan berkenaan akan mencetuskan lebih banyak serangan ke atas kepentingan-kepentingan Israel, termasuk di luar negara.

Malah katanya, serangan yang dibuat Zionis itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja oleh pihak yang mempunyai kepentingan seperti Hizbullah, Iran dan Yemen.

Ahmad Martadha
Ahmad Martadha

“Kesan pertama di atas peristiwa ini ialah Hamas pasti akan menarik diri daripada sebarang usaha gencatan senjata dengan rejim Zionis. Selain itu, Iran juga tidak akan berdiam diri kerana serangan tersebut dilakukan di negara mereka dan Ismail Haniyeh merupakan antara orang yang rapat dengan Presiden baharu Iran yang dilantik.

“Saya tidak melihat situasi ini akan melemahkan Hamas, bahkan ia sebenarnya akan memberikan kekuatan kepada Iran dan Hizbullah yang juga sekutu Iran.

“Iran sendiri sebelum ini telah menunjukkan beberapa peristiwa kecil seperti serangan roket ke atas Israel. Walaupun ia mungkin bukan pada kedudukan yang boleh berlakunya pembunuhan dan kematian, namun ia boleh mencetuskan kepada yang lebih besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penglibatan Yemen yang lebih aktif, yang mana kepimpinan Huthi di Yemen turut sama menyerang ketenteraan atau kapal-kapal dari Israel.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu merupakan satu tindakan yang sangat zalim oleh rejim Zionis dan mengharapkan apa yang berlaku tidak merebak menjadi suatu peperangan yang lebih besar antara Israel dan Iran.

Ismail Haniyeh
Ismail Haniyeh

Ditanya tentang pengganti Ismail Haniyeh, beliau menyatakan sekarang bukanlah masa untuk menamakan segera pengganti kerana kematian itu juga memberi kesan kepada Hamas, terutamanya dari segi melihat kedudukan mereka.

“Bagi saya, mungkin selepas ini mereka akan lebih berhati-hati untuk menamakan pimpinan tertinggi bagi mengelakkan menjadi sasaran serangan Israel.

“Saya jangka mereka mungkin tidak akan menamakan pengganti dalam masa terdekat, bahkan lebih penting memberi penghormatan kepada pimpinan mereka yang syahid dan pada masa sama, mengatur strategi bagi mengelakkan serangan dari Israel,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!