Bukan mudah raih kepercayaan
SHAH ALAM - Wartawan-wartawan Sinar Harian yang menjadi saksi selama hampir dua dekad penubuhan akhbar ini mengakui usaha mendapatkan kepercayaan masyarakat pada peringkat awal menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi demi menyampaikan maklumat telus dan tulus.
Wartawan Kanan Sinar Harian Nasional, Farah Shazwani Ali berkata, pengalaman memulakan kerjaya 18 tahun lalu bersama pasukan wartawan baharu ketika itu menjadi pengalaman berharga kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah Sinar Harian di peringkat awal.
Menurutnya, usaha keras semua pihak sejak awal penubuhan Sinar Harian pada 2006 nyata berbaloi dan membanggakan apabila akhbar ini masih bertahan dan kini menjadi antara media utama negara yang disegani.
“Saya masih ingat ketika awal bekerja dulu kami semua wartawan baharu yang tiada pengalaman. Paling susah untuk dapatkan kepercayaan masyarakat terhadap Sinar Harian kerana akhbar ini baharu diterbitkan.
“Tapi wartawan dengan kereta Kancil atau lebih dikenali sebagai ‘Skuad Cakna’ menjadi sumber kekuatan kami untuk masuk ke pelosok kampung bertemu komuniti dan memperkenalkan Sinar Harian yang membawa suara masyarakat,” katanya.
Farah Shazwani berkata, pengalaman berkhidmat di Sinar Harian terlalu berharga buat dirinya.
“Pelbagai pengalaman saya peroleh seperti dapat berjumpa dan berurusan dari peringkat orang kampung sehingga pemimpin utama negara.
“Saya amat berharap Sinar Harian terus bertahan dan mendapat kepercayaan orang ramai. Penghargaan utama kepada Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan bekas Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali yang menjadi tenaga penting penubuhan awal Sinar Harian,” katanya pada Rabu.
Wartawan Selangor, Mohd Azlim Zainury juga mengakui bukan mudah bagi seorang wartawan untuk membawa nama Sinar Harian, sebuah akhbar yang dihormati kerana ketelusan dan cakna terhadap masyarakat.
“Tahun pertama dan kedua adalah tahun paling mencabar apabila wakil Sinar Harian di setiap daerah gigih bekerja tujuh hari seminggu tanpa cuti bagi memastikan akhbar ini mampu bersaing dengan media arus perdana lain.
“Namun hasil kerja keras itu berbaloi apabila masyarakat mula percaya Sinar Harian mampu menjadi suara mereka malah ada di sesetengah kawasan masyarakat memilih untuk mengadu kepada Sinar Harian berbanding wakil rakyat,” katanya.
Menurutnya, karyawan Sinar Harian bukan sahaja berjuang untuk mendapat kebebasan media semata-mata tetapi paling penting ia mesti bersih daripada segala prasangka dan mempunyai elemen ketelusan dan kejujuran.
“Setiap wartawan perlu telus dalam menyampaikan maklumat dan benar-benar memainkan peranan dan bukan sekadar menulis sahaja.
“Namun tanpa kesetiaan, kerja keras dan keikhlasan setiap yang terlibat dalam keluarga Sinar Harian serta sokongan rakyat Malaysia, akhbar ini mungkin tidak dapat bertahan sehingga hari ini. Terima kasih semua yang telah menyokong kami selama ini,” katanya.
Bagi wartawan Kelantan, Aswany Omar, selama 18 tahun Sinar Harian beroperasi, akhbar ini telah banyak melahirkan ramai karyawan berbakat dan menjadi wartawan hebat.
“Bersama Sinar Harian, saya berpeluang bekerja di empat negeri iaitu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Selangor. Ternyata pemikiran pembaca yang pelbagai dapat memberi pengalaman berbeza dalam penulisan.
“Sepanjang bersama Sinar Harian, akhbar ini terus mengorak langkah ke hadapan terutama dalam konteks dalam talian yang kini sudah ramai pengikut dan menjadi platform utama masyarakat mendapatkan berita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!