Gugurnya tokoh pejuang Palestin
GUGURNYA tokoh dan pemimpin pasukan pejuang Hamas, Ismail Haniyeh dalam serangan pembunuhan di kediamannya di Teheran pda Rabu mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dan pegawai di seluruh dunia.
Allahyarham Haniyeh dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian Al-Shati di Semenanjung Gaza dan dipilih sebagai Ketua Biro Politik Hamas pada 2017.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin pada 2006 selepas Hamas memenangi pilihan raya kebangsaan tetapi dipecat pada tahun berikutnya selepas pertempuran berpuak-puak tercetus antara kumpulan itu dan saingan Fatah.
Haniyeh merupakan seorang yang gigih berjuang untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin di bawah tekanan serta kezaliman berterusan oleh Israel.
Selain itu, Allahyarham juga mengabdikan hidupnya untuk memperjuangkan keadilan bagi rakyat walaupun sering menghadapi cabaran yang luar biasa.
Rata-rata pemimpin seluruh dunia menyifatkan pembunuhan tersebut kejam dan sangat tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas Ketua Biro Politik berkenaan yang ternyata sangat tragis bertujuan untuk menggagalkan rundingan bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.
Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga mengutuk tindakan berkenaan dan menyeru rakyatnya untuk bersatu, bersabar dan tabah menghadapi pendudukan Israel.
Dikatakan, kumpulan-kumpulan kebangsaan dan Islam Palestin menggesa mogok umum dan demonstrasi besar-besaran selepas pembunuhan Haniyeh.
Justeru, masyarakat antarabangsa tampillah bersama-sama memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak kepada rakyat Palestin.
Semoga ada tindakan sepatutnya untuk menghentikan kekejaman Israel sebelum rantau berkenaan menghadapi konflik yang lebih besar.
Al-Fatihah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!