Kisah wira negara yang perlu dikenang
MENYAKSIKAN persembahan pantomin 'Op Subuh' sempena Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Rabu benar-benar menyentuh hati kerana terkenang betapa sukarnya pahlawan negara mempertaruhkan nyawa.
Karya yang digarap daripada kisah benar, Op Subuh menceritakan insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu menggelar diri mereka sebagai Al-Maunah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan.
Op yang diketuai bekas Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Mohd Zaini Mohd Said itu berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah dan membuatkan kesemua anggota kumpulan berkenaan menyerah diri.
Mengimbas kembalil, pada pertengahan tahun 2000, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kisah kumpulan Al-Maunah. Mereka telah melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah di Perak.
Mereka telah berjaya melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor menyimpan senjata dan membawa kesemua senjata yang dicuri itu ke sebuah pangkalan rahsia di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.
Seramai 29 orang dipercayai terlibat dalam misi menggulingkan kerajaan Malaysia dan kesemua mereka dipimpin oleh Mohamed Amin Mohamed Razali.
Seramai 300 anggota tentera telah dihantar ke kawasan persembunyian kumpulan tersebut bagi mengepung dan menyekat pergerakan mereka.
Tragedi hitam selepas 43 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, termasuk selepas semua ancaman komunis berakhir itu, turut mengorbankan dua anggota keselamatan iaitu Detektif Kpl R Sanghadevan dari Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia, Truper Mathew Medan.
Hari Pahlawan diraikan sejak 31 Julai 1960 sebagai manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara.
Buat semua anggota pertahanan negara, para pahlawan dan para perajurit yang berjuang demi agama, bangsa dan negara, Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2024.
Segala pengorbanan dan khidmat bakti anda amat dihargai. Terima kasih wira negara!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!