Lawan arus, himpit polis, tiga penjenayah tumpas selepas dikejar 20 km

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Bagaikan filem aksi apabila sebuah kenderaan dinaiki tiga penjenayah dipandu secara berbahaya dan melawan arus sebelum menghimpit kereta polis dalam kejadian di sini pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu turut memaksa polis melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dinaiki suspek sebelum berjaya memberkas ketiga-tiganya selepas dikejar sejauh lebih 20 kilometer

Kesemua suspek lelaki warga tempatan berusia 34, 37, dan 47 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket curi kenderaan dengan menyasarkan pacuan empat roda.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semasa kejadian, kenderaan suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika seorang pegawai dan dua anggota dari Balai Polis Kampung Rapat membuat rondaan Op Lejang di Taman Soon Choon di sini.

Azizi
Azizi

Menurutnya, ketika dihampiri untuk pemeriksaan, kenderaan suspek memecut laju masuk ke lebuh raya melalui Simpang Pulai dalam cubaan melarikan diri.

"Apabila tiba di susur keluar tol Gopeng, suspek bertindak agresif merempuh palang dan melanggar kereta polis dengan mengundurkan kenderaan.

"Akibat kejadian itu, polis bertindak melepaskan satu tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan SUV suspek, namun mereka dapat melarikan diri ke arah Gopeng dan Batu Gajah," katanya ketika ditemui dalam Program Sembang Santai Ketua Polis Perak bersama Media di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kenderaan suspek kemudiannya dikesan memandu secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat Kampung Pisang hingga ke Jalan Bemban dan bertindak agresif menghimpit kereta dinaiki anggota polis.

Katanya, bagi melindungi diri, polis melepaskan dua lagi das tembakan ke arah kenderaan suspek mengakibatkan SUV tersebut terbabas akibat tayar pecah berhampiran persimpangan jejambat Siputeh.

"Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara polis dan suspek. Bagaimanapun dengan bantuan rondaan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, tangkapan dan rampasan ke atas suspek berjaya dilakukan.

"Kejadian juga tidak melibatkan sebarang kecederaan ke atas anggota polis mahupun orang awam," katanya.

Azizi berkata, dalam tangkapan itu, polis menemui pelbagai peralatan yang digunakan bagi tujuan mencuri kenderaan antaranya alat elektronik yang boleh membuka pintu serta alat memecah cermin.

Ujar beliau, siasatan awal dijalankan mendapati, suspek mempunyai 40 rekod lampau termasuk kesalahan jenayah di beberapa negeri lain.

"SUV digunakan suspek telah disahkan sebagai kenderaan curi bersabit kes di Puchong, Selangor.

"Suspek telah direman selama empat hari bagi siasatan lanjut kes termasuk cubaan membunuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!