Tiga termasuk kanak-kanak perempuan rentung
KOTA MARUDU - Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas, awal pagi Khamis.
Dalam kebakaran bermula kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 11 tahun ditemukan di ruang tamu, mangsa kedua, lelaki berusia 50-an ditemukan di dapur dan seorang lagi lelaki berusia 60-an ditemukan di bilik air.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.19 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 65 kilometer dari BBP Kota Marudu.
"Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal bersama dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja terbakar 100 peratus.
"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan sumber air dari jentera dan api berjaya dikawal pada jam 3.25 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
"Terdapat tiga mangsa rentung masing-masing ditemukan sekitar jam 3.30 pagi hingga 4.30 pagi di lokasi berasingan dalam rumah tersebut dan kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Sementara itu, terdapat tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut," katanya lagi.
Tambah beliau lagi, operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada jam 6.36 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!