Rankireddy-Shetty ujian Aaron-Wooi Yik di suku akhir
KARAKTER beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi diuji apabila diundi menentang wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan suku akhir acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024.
Atas kertas biarpun rekod lapan kemenangan ke atas beregu nombor lima dunia dalam 11 pertemuan sebelum ini, namun wakil India itu berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik dengan straight set pada tiga pertemuan terakhir di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Terbuka India Januari lalu.
Sekiranya mampu melepasi halangan beregu India itu, Aaron-Wooi Yik bakal mengharungi satu lagi cabaran sengit menentang pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Beregu China itu diundi menentang wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Juara bertahan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan akan bertemu wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren manakala beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen akan mencabar juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae.
Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Kumpulan A di belakang beregu nombor satu dunia, Wei Keng-Chang yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 sebelum ini.
Sebelum ini, beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!