PTPTN lanjut tempoh kempen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melanjutkan tempoh Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300 khas untuk peminjam PTPTN sehingga 30 September nanti.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, tempoh kempen dilanjutkan daripada dua bulan yang berakhir pada 31 Julai sebelum ini kepada empat bulan iaitu bermula 1 Jun sehingga 30 September ini.

“Kempen ini merupakan inisiatif khas yang diwujudkan bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN untuk menyelesaikan tunggakan mereka dengan bayaran awal serendah RM300 sahaja.

“Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.

“Penstrukturan semula memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

“Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur. Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, tujuan pelanjutan tempoh kempen itu adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai zero tunggakan.

Artikel Berkaitan:

“Tempoh pelanjutan ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat yang sedang berlangsung.

“Melalui perlanjutan tempoh kempen ini, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh mengambil peluang untuk membayar tunggakan serendah RM300 dan membuat penstukturan semula pinjaman sekali gus dapat memperbaiki rekod kredit peminjam,” kata Norliza.

Beliau berkata, komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amat dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

PTPTN sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dengan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!