Jakim laksana solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh malam ini
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib di atas pemergian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh rejim Zionis di tiga masjid utama di bawah kelolaannya selepas solat Maghrib pada Khamis.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
"Jakim amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang telah kembali ke rahmatullah pada Rabu.
"Almarhum adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh.
"Jakim menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kumpulan Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham terbunuh dalam serangan di Teheran, Iran, pada Rabu.
Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian pemimpin terbabit yang dikatakan terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Teheran.
Haniyeh dilaporkan berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!