Pelajar Tingkatan Lima maut motosikal terbabas
TELUK INTAN - Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Teluk Intan maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas dalam kejadian di Kilometer (KM) 27 Jalan Langkap-Kampar di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.31 pagi apabila pelajar lelaki berusia berusia 17 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda RS-X dalam perjalanan dari arah Langkap ke Kampar.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri bahu jalan.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah.
"Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan sebelum disahkan meninggal ketika menerima rawatan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad Adnan berkata, siasatan polis mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu manakala motosikal ditunggangi pula milik bapanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Adnan turut menasihati ibu bapa atau penjaga memantau dan mengawal anak-anak mereka supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen mahupun terlibat dalam aktiviti lumba haram.
Jelasnya, mereka yang membenarkan anak-anak memandu kenderaan atau menunggang motosikal di bawah had umur ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan itu boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!