KPT kesan kes penipuan, jual sijil akademik

KPT kesan beberapa kes penipuan, jual sijil akademik. Gambar hiasan
KPT kesan beberapa kes penipuan, jual sijil akademik. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjaya merungkai beberapa kes penipuan sijil akademik melalui aduan awam baru-baru ini.

KPT dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan sindiket yang memperdaya mangsa dengan menggunakan nama institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat.

Sehubungan itu, laporan polis juga akan dibuat untuk memastikan sindiket penipuan ini boleh dikekang.

"KPT memandang serius dakwaan berhubung penjualan sijil akademik daripada peringkat sekolah hingga pengajian tinggi seperti yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam.

"Berhubung isu ini, KPT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana IPT awam dan swasta mahupun individu yang didapati terlibat.

"Di peringkat kementerian, terdapat pemantauan dan kawal selia yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambahnya, KPT juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan oleh orang awam.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran di portal GREaT KPT melalui pautan https://dohe.mohe.gov.my/award/.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihati agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah penipuan dan penjualan sijil akademik ini. KPT akan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!