Lelaki ditahan, cekik, tolak isteri dalam gaung

Lokasi kejadian seorang lelaki disyaki menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, Sabtu lalu.
Lokasi kejadian seorang lelaki disyaki menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, Sabtu lalu.
A
A
A

GERIK - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung dalam satu kejadian di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 39 tahun itu diberkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah pada Rabu selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun dijumpai orang awam dalam keadaan berseorangan di tepi jalan sekitar jam 2 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan.

"Berdasarkan keterangan, sekitar jam 5.30 petang pada Jumaat, mangsa telah dibawa suaminya menaiki kenderaan dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak dengan alasan mahu pulang ke kampung.

"Sepanjang perjalanan telah berlaku pertengkaran mulut mengakibatkan suspek memberhentikan kereta dan bertindak mencekik leher serta mengugut mahu membunuh mangsa dengan pisau.

"Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta, namun berjaya dihalang suspek sebelum kenderaan dipandu memecut sehingga sampai ke laluan JRTB di Gerik," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semasa tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5 pagi, berlaku sekali lagi pertengkaran mulut antara pasangan itu yang membawa kepada pergelutan di bahu jalan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek kemudiannya bertindak luar kawalan dengan menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

"Mangsa yang mengalami kesan calar, luka dan lebam pada tubuh badan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping," katanya.

Zulkifli berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat IPD Baling kerana terdapat kes melibatkan lelaki itu di kawasan pentadbiran polis berkenaan.

Ujarnya, sebaik siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan bersangkut kes ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya memaklumkan suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau termasuk dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!