Nelayan gusar serangan ulat kapang
Perpindahan bot nelayan ke jeti baharu dilakukan bagi membolehkan projek pembinaan jambatan kedua bandar Pontian dilaksanakan.
Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan ( PNK) Pontian, Hairul Akbar Saat berkata, nelayan terpaksa menanggung kerugian mencecah lebih RM100,000 berikutan bot pukat tunda mereka diserang ulat kapang selepas berpindah ke jeti Pusat Perdagangan Pontian.
Menurutnya, tiada isu nelayan enggan berpindah dari jeti Pontian Kechil kerana mereka memberikan kerjasama dalam setiap proses rundingan yang diadakan.
Namun, serangan ulat kapang di jeti baharu menyebabkan segelintir nelayan berat hati untuk berpindah.
“Sepatutnya nelayan mula berpindah ke jeti baharu pada April tahun lepas. Tetapi ada yang sudah berpindah lebih awal ke jeti baharu yang siap dibina pada 2014 itu.
“Malangnya bila sudah pindah, nelayan pula yang rugi sebab bot pukat tunda yang berharga lebih RM300,000 diserang ulat kapang. Keadaan air masin yang tidak bercampur dengan air tawar di jeti baharu menyebabkan wujudnya ulat kapang,” katanya kepada Sinar Harian.
Justeru katanya, nelayan mahu isu ulat kapang diselesaikan dengan mengambil kira pandangan yang dikemukakan iaitu air tawar perlu disalurkan ke kawasan jeti baharu.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih atas rundingan yang dilakukan Adun Pulai Sebatang bersama pihak pemaju dan nelayan pada Ahad lalu.
“Terdapat 13 bot pukat tunda dan tiga premis yang masih ada di kawasan jeti Pontian Kechil. Isu ini sudah dibawa ke mahkamah.
“Pada Ahad lepas, rundingan telah diadakan dan nelayan terlibat bersetuju untuk mengosongkan dan merobohkan premis sendiri serta memindahkan bot pukat tunda mereka,” katanya.
Hairul turut mencadangkan agar jeti sementara dibina kerana isu ulat kapang di jeti baharu masih belum diselesaikan.
“Kawasan bertentangan dengan jeti Pontian Kechil amat sesuai untuk pembinaan jeti sementara.
“Dari segi kos pembinaan pula kemungkinan hanya mencecah RM10,000 kerana kayu-kayu dari jeti lama akan digunakan semula dan nelayan akan bergotong-royong bina jeti sementara itu,” katanya.
Minta jeti yang selamat
Pemilik bot pukat tunda dan nelayan yang tidak mahu berpindah ke jeti baharu di Pusat Perdagangan Pontian menegaskan mereka bukan degil tetapi hanya mahukan sebuah jeti yang selamat.
Ng Jih Chang, 40, berkata, dia tidak pernah menolak pembangunan namun dalam masa yang sama tidak mahu menjadi mangsa dari pembangunan yang dirancang.
Dia yang dikenali sebagai Ah Siong mendakwa jeti baharu di Pontian Kechil tidak selamat kerana terdapat banyak ulat kapang menyerang bot-bot pukat tunda di situ.
Katanya, dia tidak sanggup menanggung kerugian kerana kos membaiki bot yang terkena serangan ulat kapang mencecah ratusan ribu ringgit.
“Saya ada tujuh bot pukat tunda. Sudah tentu saya risau jika bot diserang ulat kapang. Ramai pemilik bot pukat tunda mengeluh tidak tahan bot mereka kena dibaiki sebab ulat kapang.
“Saya tidak kisah orang cakap kami degil tidak mahu pindah. Tengok dulu apa masalah kami jangan tuduh sembarangan,” katanya.
Bagi Neo Pang Long, 42, pula, dia mahu kerajaan negeri segera menyelesaikan isu serangan ulat kapang di jeti baharu terbabit.
“Saya cuma minta jeti yang selamat. Sebagai penduduk asal di kawasan jeti Pontian Kechil, saya amat mengalu-alukan pembangunan di sini.
“Bagaimanapun kerajaan negeri perlu prihatin dengan mendengar keluhan kami di sini yang tidak mahu menjadi mangsa ulat kapang di jeti baharu,” katanya.
Persatuan Tionghua bantu selesai kemelut
Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Daerah Pontian, Datuk Tan Chin Hok berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu menyelesaikan kemelut penduduk dan nelayan di kawasan Jeti Pontian Kechil.
Katanya, kawasan jeti berkenaan sudah menjadi penempatan penduduk masyarakat Cina sejak kira-kira 100 tahun dahulu.
“Nelayan berjanji akan memberikan kerjasama dan sememangnya jeti akan dikosongkan.
“Kami juga berterima kasih atas bantuan diberikan terutama dari pihak Adun Pulai Sebatang sehingga masalah di sini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Rancang pertemuan dengan nelayan: Adun
Dalam pada itu, Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan nelayan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu ulat kapang.
Menurutnya, pertemuan yang akan dilakukan pada masa terdekat itu juga akan disertai wakil beberapa jabatan dan agensi kerajaan.
“Selain serangan ulat kapang, rekahan pada struktur jeti baharu juga turut diadukan oleh nelayan dan mereka mahu tindakan segera diambil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!