Jangan bebankan rakyat

A
A
A

SEBELUM pengumuman rasmi dibuat pihak istana tentang peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 mengikut Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, pelbagai spekulasi telah timbul. Ada yang menyebut baginda mengambil cuti dua bulan untuk menjalani rawatan masalah kesihatan. Namun dalam tempoh cuti tersebut, negara telah digegarkan dengan berita sensasi baginda telah berkahwin dengan ratu cantik Russia, Oksana Voevodina di Barvikha, Moscow. Walaupun berita ini telah tersebar dengan meluas, pihak istana tidak pula menafi atau mengesahkannya. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya 'membawang' semakin rancak membuat andaian.

Tiba-tiba bila tamat tempoh cuti, timbul pula berita bahawa Majlis Raja-raja telah mengadakan Persidangan Khas untuk membincangkan kedudukan baginda sebagai Agong. Ada sumber yang menyebut bahawa pada persidangan tersebut, Majlis Raja-raja telah mencapai persetujuan untuk menasihati baginda agar berhenti secara terhormat sebagai Agong. Anehnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memberitahu bahawa beliau juga tidak tahu- menahu tentang kesahihan berita perkahwinan baginda dan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja tersebut.

Tun M berkata semua itu adalah urusan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja yang tidak boleh dicampuri oleh kerajaan. Kerajaan Kelantan pula telah membuat penafian yang keras tentang kesahihan spekulasi tersebut, malah menggesa Peguam Negara mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang telah menyebar fitnah ke atas baginda.

Akhirnya pada petang Ahad, segala spekulasi tentang peletakan jawatan baginda terjawab. Perlu kita ambil ingat bahawa peletakan jawatan tersebut oleh Agong sebelum tamat tempoh khidmat adalah pertama kali berlaku dalam sejarah negara kita.

Satu lagi spekulasi yang tidak terjawab ialah kononnya wujud pergeseran antara baginda dan kerajaan PH, khususnya dengan Tun M. Ini ekoran penarikan darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Tun M oleh Tuanku Sultan Ismail, ayahanda kepada Sultan Muhamad V; kelambatan untuk mengadakan acara mengangkat sumpah oleh Tun M sebagai PM ke-7 selepas kemenangan PH dalam PRU14; dan layanan yang kurang baik kepada Tun M dan Tun Dr Siti Hasmah semasa acara mengangkat sumpah tersebut. Malah timbul berbagai-bagai teori konspirasi yang kononnya ada komplot oleh beberapa pihak tertentu untuk menafi dan menggagalkan hak Tun M dinobat sebagai PM pilihan PH.

Berita-berita tentang keenganan baginda untuk mengikuti protokol keselamatan yang merimaskan kerajaan dan unit keselamatan ikut tersebar. Pendedahan juga telah dibuat oleh pihak akhbar tentang gaya hidup mewah dan perbelanjaan baginda yang berlebihan bajet. Semua ini pastinya merenggangkan lagi hubungan antara baginda dan kerajaaan.

Rakyat mungkin tidak akan tahu punca sebenarnya mengapa baginda membuat keputusan untuk meletak jawatan. Lazimya apa-apa kemelut yang berlaku yang melibatkan pihak istana akan diselesaikan secara beradab, tertib dan diam-diam tanpa banyak polemik di media massa.

Apapun, keputusan baginda telah membuat keputusan dan kita perlu menghormati dan menerimanya sebagai sesuatu yang terbaik untuk semua pihak. Sebagai rakyat, marilah sama-sama kita doakan yang terbaik untuk baginda meneruskan tugas sebagai Sultan Kelantan. Kita tahu rakyat Kelantan menyayangi baginda dan hubungan antara Kerajaan Kelantan dan Sultan Muhammad V amat baik. Kita percaya baginda akan lebih selesa dan bahagia bersama rakyat Kelantan dan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan Agong baharu

Tumpuan negara sekarang ialah Persidangan Majlis Raja-raja pada 24 Januari untuk memilih Agong baharu. Pemimpin politik tidak ada hak mencampuri urusan ini. Sembilan sultan yang bersidang boleh meneruskan konvensyen untuk memilih Agong mengikut giliran yang telah dipersetujui. Mengikut senarai tersebut, giliran seterusnya akan jatuh kepada Sultan Pahang tetapi umum mengetahui Sultan Ahmad Shah sedang gering.

Selepas Sultan Pahang, giliran seterusnya ialah Sultan Johor dan kemudian Sultan Perak. Sukar untuk kita menjangka keputusan yang akan diambil oleh Sultan Johor dalam keadaan hubungan yang masih tegang antara baginda dan Kerajaan PH di bawah Tun M. Dalam keadaan sedemikian, kemungkinan Sultan Perak terus bertindak sebagai Pemangku Agong. Ini kerana Sultan Perak mempunyai hubungan yang baik dengan Tun M dan kerajaan PH. Keputusan ini juga akan mempastikan giliran dan senarai Agong seterusnya kekal dan tidak terusik.

Masalah kerajaan PH dengan Istana Johor

Pemikiran rakyat sekarang tertumpu kepada ketegangan dalam hubungan di antara Istana Johor dan kerajaan PH di bawah Tun M.

Konflik timbul sebelum dan semasa PRU14 lagi apabila Istana Johor memilih untuk ikut terlibat dalam kancah politik negara dan negeri dengan menggesa rakyat Johor untuk menyokong Datuk Seri Najib Razak dan memilih Umno/BN sebagai kerajaan. Apabila PH menang mengejut dan Tun M dinobat sebagai PM ke-7, kerajaan baharu telah membuat semakan ke atas beberapa polisi dan projek-projek raksasa yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu. Negeri Johor dan Istana Johor ikut terjejas dengan semakan tersebut. Kemelut berterusan dalam kes Pulau Kukup, pulau yang digazet sebagai Taman Rekreasi Negara yang kini menjadi milik Sultan Johor.

Perang mulut di antara Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tun M akhir-akhir ini semakin mengeruhkan lagi suasana.

Sistem Raja Berperlembagaan

Perlembagaan kita telah digubal dengan begitu rapi agar setiap pihak yang berkuasa faham dan akur dengan peranan masing-masing mengikut peruntukan-peruntukannya. Amat jelas disebut dalam Perlembagaan bahawa kuasa untuk mentadbir negara adalah berada di bawah cabang eksekutif yang dipimpin oleh PM. Cabang legislatif dan penghakiman bersama eksekutif melengkapi sebuah kerajaan. Agong bertindak hanya di atas nasihat PM atau Kabinet sahaja. Sedikit sahaja bidang di mana Agong diberi kuasa untuk mengguna budi bicara baginda. Begitu juga di peringkat negeri dalam susunan kuasa antara sultan dan kerajaan negeri.

Apa yang jelas dan nyata dalam penggubalan dan peruntukan Perlembagaan ialah baginda tidak seharusnya terlibat dalam hal politik dan tadbir urus negara atau negeri.

Kita tidak mahu kerajaan pilihan rakyat bertembung dengan Institusi Raja-Raja sepertimana tercetusnya krisis Perlembagaan pada tahun 1983 (berkesudahan dengan pindaan kepada Perlembagaan untuk menghadkan kuasa baginda mengistiharkan darurat dan mengguna kuasa veto kepada undang-undang yang diluluskan Parlimen) dan tahun 1993 (berkesudahan dengan pindaan kepada Perlembagaan dengan menghapus imuniti ke atas baginda dan peruntukan pembentukan makhamah khas untuk membicara kes-kes terhadap baginda).

Rakyat tidak mahu didesak atau terpaksa membuat pilihan sama ada memihak kepada kerajaan pilihan mereka atau Institusi Raja-raja apabila berlakunya pertembungan sedemikian sekali lagi. Apa-apapun pilihan yang dibuat rakyat, negara akan retak dan berpecah dua. Rakyat tidak mahu diletak dalam keadaan 'ditelan mati emak diluah mati bapa' atau 'menang jadi arang, kalah jadi abu'.

Suara keramat rakyat

Rakyat telah cukup dengan masalah kehidupan harian mereka dalam keadaan ekonomi yang lembab dan kos sara hidup yang tinggi. Di samping itu mereka diasak dengan berbagai- bagai ragam politik daripada pihak kerajaan dan pembankang.

Rakyat telah memberi mandat kepada PH untuk mengurus tadbir negara sehingga PRU15. Maka, adalah wajar untuk kita memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan keupayaan mereka dan di akhir penggalnya nanti biarlah rakyat juga yang membuat penilaian dan keputusan parti mana yang lebih layak untuk mendapat mandat mereka seterusnya.

Sudah sampai masa dan ketikanya untuk semua pihak yang berkuasa dalam urus-tadbir negara memahami dan menyedari bahawa tugas mereka adalah hanya untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. Bukan untuk kepentingan atau agenda perbadi mereka. Mereka perlu sedar bahawa tanpa sokongan rakyat, siapa dan dimanalah mereka? Dan seterusnya akur bahawa suara keramat rakyat bisa mengatasi semua kuasa yang ada pada mereka.

Itulah yang kita fahami dengan istilah dan konsep 'kerajaan rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!