Hampir 1,000 jemaah solat sunat Istisqa di Pekan

Hampir 1,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat Istisqa di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis
Hampir 1,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat Istisqa di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis
A
A
A

PEKAN - Hampir 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan memulihkan keadaan cuaca seperti sedia kala.

Solat sunat dua rakaat itu diadakan di Padang Majlis Perbandaran Pekan (MPP) bermula 9 pagi dan diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Mohammad Hafizi Zilani.

Mohammad Hafizi mengimamkan solat sunat Istisqa bersama hampir 1,000 jemaah di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis.
Mohammad Hafizi mengimamkan solat sunat Istisqa bersama hampir 1,000 jemaah di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis.

Sementara itu, bacaan khutbah pula dibacakan Imam Masjid Sultan Haji Shah Al-Haj, Mohd Lufti Mohd Bashir.

Jemaah mendengar khutbah yang disampaikan Mohd Lufti di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis.
Jemaah mendengar khutbah yang disampaikan Mohd Lufti di Padang Majlis Perbandaran Pekan di sini, pada Khamis.

Sama seperti solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha, solat sunat Istisqa disusuli dengan khutbah khas antaranya mendoakan hujan membasahi tanah yang mula kekeringan.

Hadir sama mengerjakan solat Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali; Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Mohd Lufti ketika menyampaikan khutbah berkata, cuaca panas telah menyebabkan beberapa musibah seperti peningkatan kes strok haba selain haiwan ternakan dan liar turut terkesan serta paras air sungai juga semakin kering.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, walaupun cuaca panas boleh dijelaskan secara sains tetapi ALLAH SWT yang berkehendak untuk menjadikan cuaca panas.

"ALLAH yang maha berkuasa untuk menurunkan hujan dan menahan hujan daripada turun.

"Maka marilah bertakwa kepada ALLAH dan insaflah, mungkin kepanasan ini adalah sebagai salah satu amaran dan peringatan-Nya kepada kita semua," katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Pekan, Mohd Aris Jamin berkata, sambutan diterima daripada jabatan kerajaan, pelajar sekolah dan penduduk setempat amat menggalakkan.

Mohd Aris
Mohd Aris

Menurutnya, sunat Istisqa salah satu cara untuk meminta pertolongan kepada ALLAH SWT.

"Syukur kita dapat laksana solat Istisqa ini dan dengan bersangka baik, Insya-Allah walaupun buat masa ini hujan tidak turun, tetapi ALLAH maha mengetahui bila dan di mana hujan hendak turun.

"Penting kita sebagai hamba, kena faham kita tidak mempunyai sebarang kekuatan kecuali ALLAH membantu dan tidak pernah mengecewakan kita," katanya.

Sebelum ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya semua masjid di Pahang melaksanakan solat Istisqa memohon diturunkan hujan dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat.

Media juga melaporkan fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga penghujung September depan di beberapa negeri termasuk Pahang.

Susulan itu, air Sungai Pahang surut terlalu rendah disebabkan kurangnya taburan hujan di kawasan hulu mengakibatkan beberapa kawasan sungai terbabit di daerah negeri ini mengalami penyusutan aras air sungai yang sangat ketara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!