DNB bukan projek gajah putih - Gobind

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Digital, Gobind Singh Deo menempelak Ahli Parlimen Machang yang mendakwa Digital Nasional Bhd (DNB) bakal menjadi projek gajah putih.

Jelasnya, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu telah mencapai 82 peratus kawasan berpenduduk (COPA) dalam tempoh tiga tahun.

"Dalam tempoh itu juga, kadar penerima gunaan telah meningkat 43.6 peratus serta mencapai 14.8 juta langganan," katanya ketika ditemui selepas melancarkan inisiatif Pemerkasaan Digital di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang menzahirkan kebimbangan DNB akan menjadi gajah putih apabila model dwirangkaian 5G dilaksanakan.

Dakwa Ketua Pemuda Bersatu itu, pelaksanaan model berkenaan boleh menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat tersebut dengan kos berbilion ringgit.

Menurut Gobind, kerajaan juga akan memberi tumpuan terhadap rangkaian perusahaan swasta agar dapat membawa 5G kepada industri kecil dan sederhana (SME).

"Sudah tentu apabila guna 5G ini, ia akan meningkatkan perniagaan. Ini satu lagi kejayaan yang besar," jelas beliau.

Tambahnya, DNB berada di landasan tepat baik dari segi pelanggan mahupun industri.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa tidak ada isu DNB menjadi gajah putih. DNB telah berjaya menunjukkan roll up perkhidmatan 5G dalam tempoh tiga tahun.

"Jadi, soal menjadi gajah putih itu tidak timbul sama sekali," katanya.

Kritikan Wan Ahmad Fayshal itu dilihat senada dengan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan rangkaian kedua mungkin membawa kepada kegagalan DNB atau sekurang-kurangnya tidak berjaya seperti yang diharapkan.

Pada 2021, Malaysia memperkenalkan pelan supaya DNB mengawal keseluruhan spektrum 5G, dengan pelbagai pengendali rangkaian menggunakan prasarananya untuk perkhidmatan mudah alih.

Kerajaan juga bersetuju menjual 70 peratus kepentingannya dalam DNB kepada pengendali rangkaian mudah alih.

Pada September tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dwirangkaian 5G akan membolehkan penyertaan lebih berkesan daripada Huawei, mengimbangi kedua-dua teknologi Timur dan Barat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!