Nahas rombongan guru: Pemandu bas didakwa memandu secara melulu
ROMPIN - Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian di KM126 Jalan Kuantan-Segamat pada 9 Jun lepas.
Zamry Pon, 50, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat dan berpelitup muka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.30 tengah malam dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim menawarkan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Denial Khairul Hizam memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya kini tidak bekerja berikutan masih dalam rawatan akibat kecederaan pada pinggang dan kaki selain perlu menanggung isteri, empat anak yang masih bersekolah termasuk seorang adik Orang Kurang Upaya (OKU).
Sze Mun kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk serahan dokumen.
Dalam nahas 9 Jun lepas, empat maut, manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri suatu program terbabit dalam kemalangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!