Tambah saham akhirat dengan projek Masjid Ad-Da’wah di Jepun

ZULKARNAIN (kiri) dan Ustaz Abdullah Bukhari membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyumbang projek Masjid Ad-Da'wah di Wakayama, Jepun.
ZULKARNAIN (kiri) dan Ustaz Abdullah Bukhari membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyumbang projek Masjid Ad-Da'wah di Wakayama, Jepun.
A
A
A

SELEPAS kejayaan Japan Da’wah Centre (JDC) di Osaka, Jepun pada 2019, projek Masjid Ad-Da’wah pula menyusul bagi meluaskan misi dakwah di negara matahari terbit itu.

Pembangunan Masjid Ad-Da’wah yang dianggarkan menelan belanja RM12 juta itu melibatkan kawasan di bandar Wakayama.

Presiden Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia (FIMT), Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, selaku pertubuhan bukan kerajaan yang mengurus dana operasi JDC, pihaknya berkongsi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjayakan projek kedua JDC tersebut.

“Berkat kejayaan JDC di Osaka, pasukan dakwah kami yang diketuai Zulkarnain Hasan Basri berpandangan, model Islam acuan Malaysia yang ‘mesra Jepun’ perlu dikembangkan lebih luas.

“Lalu kami berjaya membeli tapak tanah Masjid Ad-Da’wah di Wakayama pada Ramadan tahun lalu bernilai RM2.5 juta. Walaupun tanah sudah dimiliki, perjuangan mencari dana membina masjid ini masih jauh dan berliku,” katanya dalam satu kenyataan.

ILUSTRASI dan lakaran Masjid Ad-Da'wah di Wakayama, Jepun.
ILUSTRASI dan lakaran Masjid Ad-Da'wah di Wakayama, Jepun.

Memetik siaran langsung di laman sosial Facebook JDC bertajuk Bina Syurga di Wakayama Jepun pada Sabtu, Ustaz Abdullah Bukhari menjelaskan, Wakayama menjadi lokasi pilihan kerana bandar itu dianggap sebagai pintu awal kemasukan Islam ke Jepun.

Artikel Berkaitan:

“Diceritakan pada tahun 1890 apabila kapal perang Empayar Uthmaniyah Turki bernama Ertugul tiba di Jepun untuk menjalin hubungan diplomatik antara dua negara, kapal itu karam dipukul ribut di pesisir pantai Wakayama selepas bertemu Maharaja Meiji.

“Terdapat 610 kelasi keseluruhannya ketika itu, namun rakyat dan kerajaan Jepun pada masa itu berjaya menyelamatkan 60 kelasi Turki. Kemudian, saki baki kelasi itu dihantar pulang ke Istanbul,” katanya.

Meskipun demikian, Ustaz Abdullah Bukhari yang juga Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjelaskan, hubungan baik antara kedua-dua negara itu berterusan hinggalah pada tahun 1985 sebelum perang Iran-Iraq tercetus.

“Kerajaan Turki menyelamatkan 215 warga Jepun keluar dari Iran sebagai membalas jasa kerajaan Jepun dahulu dalam peristiwa kapal karam,” terangnya.

Bukan itu sahaja, ujar pendakwah tersebut, tapak Masjid Ad-Da’wah yang mempunyai keluasan tiga kali lebih besar berbanding JDC dilihat akan meningkatkan lagi gelombang Islam di Wakayama.

“Apatah lagi penduduk di bandar itu sangat peramah dan mesra Muslim. Inilah peluang terbaik yang sepatutnya diambil untuk memperkenalkan Islam kepada mereka,” katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, seramai 99 orang telah bersyahadah di JDC sejak penubuhannya dan mereka turut mendapat bimbingan dari pusat dakwah berkenaan.

AL-QURAN terbitan Karya Bestari yang disumbangkan kepada JDC baru-baru ini ditempatkan pada satu sudut untuk memudahkan warga pusat dakwah itu mahupun saudara baharu membacanya.
AL-QURAN terbitan Karya Bestari yang disumbangkan kepada JDC baru-baru ini ditempatkan pada satu sudut untuk memudahkan warga pusat dakwah itu mahupun saudara baharu membacanya.

Sementara itu, Zulkarnain yang juga pengasas JDC menjelaskan, projek Masjid Al-Da’wah itu diharap berupaya memberi kesan domino kepada Islam di Jepun.

“Fokus kita supaya Masjid Ad-Da’wah ini menjadi domino kepada masjid-masjid lain yang bukan sekadar menumpukan kepada Muslim, tetapi lebih daripada itu. Maksudnya selepas mereka bina masjid, ada pengisian dakwah dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini, pihaknya sudah mengumpulkan dana sekitar RM2 juta berbanding RM12 juta yang diperlukan demi menjayakan projek pembangunan masjid berkenaan.

“Jika tidak dapat penuh, insya-ALLAH kita akan bangunkan separuh dahulu iaitu gunakan dana sedia ada. Kemudian kita akan naik taraf supaya mereka yang sudah menyumbang RM2 juta tadi terus dapat pahalanya sekarang,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menambah saham akhirat dengan memberi sumbangan pembinaan projek itu, boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Islamic Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia, 5621 0669 8737, dengan rujukan Masjid Ad-Da’wah atau Masjid Wakayama.

Ketahuikah bahawa pahala membina masjid di dunia sangat besar hinggakan dijanjikan imbalan istana syurga di akhirat kelak.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana ALLAH, walaupun sebesar tempat bertelur (sarang) si burung pipit atau lebih kecil dari itu, ALLAH akan membina untuknya sebuah istana dalam syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

SEHINGGA artikel ini ditulis, terdapat 99 orang telah mengucap kalimah Tauhid di JDC sejak ditubuhkan lima tahun lalu. -Foto: Facebook Zulkarnain Hasan Basri
SEHINGGA artikel ini ditulis, terdapat 99 orang telah mengucap kalimah Tauhid di JDC sejak ditubuhkan lima tahun lalu. -Foto: Facebook Zulkarnain Hasan Basri

Sementara itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut berbesar hati menyumbang sebanyak 36 naskhah al-Quran merangkumi enam naskhah mushaf Al-Quran Al-Karim Al-Imam dan 30 naskhah The Noble Quran terbitan Karya Bestari Sdn Bhd kepada JDC baru-baru ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!