Datuk Seri palsu: Polis rakam keterangan ahli lembaga pengarah syarikat telco
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, individu itu telah tampil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan pada Rabu.
"Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas individu berkenaan. Perbuatan menggunakan gelaran kebesaran tanpa melalui proses yang sah adalah satu kesalahan, perkara ini diambil serius oleh Istana Pahang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Pada Rabu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan kes tersebut.
Sebelum ini, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang iaitu Amir Syaffiq Hamzah mengesahkan bahawa laporan itu dibuat pada 26 Julai lalu.
Beliau berkata, semakan mendapati individu terbabit belum dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!