Dua keldai akaun wanita ditahan, mangsa kerugian RM39,650
BALIK PULAU - Polis menahan dua wanita dipercayai menjadi keldai akaun kepada dua sindiket penipuan menyebabkan kerugian RM39,650 dalam kejadian berasingan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kes pertama, polis menahan seorang wanita berusia 32 tahun semalam kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam urusan mendapatkan perkhidmatan pembersihan rumah secara dalam talian yang tidak wujud di Bayan Lepas, di sini.
"Wanita itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya selepas pihak polis menerima laporan daripada pengadu yang telah memuat turun aplikasi 'Home Solution' melalui pautan yang telah diberikan oleh sindiket itu untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan.
"Seterusnya mangsa memasukkan butir-butir peribadi termasuk maklumat perbankan sebelum dia menyedari telefon bimbitnya telah berfungsi dengan sendirinya dan ekoran berasa curiga, mangsa telah membuat semakan akaun bank melalui komputer riba dan mendapati wang dalam akuannya telah berkurangan sebanyak RM30,650,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Beliau berkata, bagi kes kedua, polis menahan seorang wanita berusia 51 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam urusan mengambil anak angkat melalui aplikasi TikTok secara dalam talian yang tidak wujud di Balik Pulau.
Berdasarkan siasatan, Kamarul Rizal berkata, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank diberikan sindiket itu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM9,000, tetapi tidak mendapat anak angkat seperti dijanjikan.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu selepas menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan, tambah beliau.
"Kedua-dua wanita itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu," katanya sambil menambah bahawa polis juga giat mengesan sindiket penipuan yang terlibat dalam dua kes itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!