MATTA Fair Perak kembali, sasar 20,000 pengunjung

Wendy (tiga dari kanan) bersama-sama Ahli Jawatankuasa MATTA Fair Perak selepas sidang akhbar Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Khamis.
Wendy (tiga dari kanan) bersama-sama Ahli Jawatankuasa MATTA Fair Perak selepas sidang akhbar Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak ke-33 yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Ogos ini menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung yang ingin mendapatkan pakej-pakej pelancongan menarik.

Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, penganjuran program tersebut merupakan kali kedua diadakan pada tahun ini dalam mempromosikan pelancongan domestik serta antarabangsa dengan sasaran jualan sebanyak RM25 juta.

Menurutnya, lebih 40 pemain industri pelancongan yang berdaftar akan menyertai pameran kali ini dengan 133 reruai disediakan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) untuk kunjungan pelanggan.

"Syarikat agensi pelancong berlesen dan berpengalaman yang menyertai MATTA Fair Perak kali ini akan menawarkan pelbagai pakej pelancongan domestik dan luar negara termasuklah pakej pelayaran dan pakej pelancongan muslim berkumpulan.

"MATTA Fair merupakan platform sehenti buat pelanggan kerana ia memudahkan mereka memilih destinasi percutian idaman yang ditawarkan oleh operator pelancongan berlesen sekaligus memastikan pilihan tersebut berbaloi," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa MATTA Perak.

Wendy berkata, pakej pelancongan muslim berkumpulan semakin mendapat perhatian apabila permintaan terhadapnya kian meningkat setiap tahun.

Katanya, MATTA Fair Perak kali ini akan menampilkan pelbagai pakej menarik untuk pelancong muslim yang inginkan kemudahan seperti makanan halal dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penganjuran kali ini turut memberi fokus kepada negara China susulan lanjutan tempoh visa diumumkan kerajaan tempoh hari.

Selain itu katanya, dengan peningkatan jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur ke China dan Pulau Pinang ke China, ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.

Dalam perkembangan sama sempena Tahun Melawat Perak 2024, Wendy menjelaskan pihaknya turut bekerjasama dengan agensi pelancongan di Kuala Lumpur menawarkan pengalaman kepada pelancong ke beberapa lokasi menarik di Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.

"Kita sudah laksana dua sesi sebelum ini dengan membawa pelancong merasai pengalaman melawat tempat-tempat menarik di Ipoh dan Kuala Kangsar. Maklum balas diterima amat baik.

"Selepas ini kita akan teruskan lagi tetapi kali ini kita akan bawa mereka ke Ipoh dan Taiping untuk merasai pengalaman sama," katanya.

Wendy berkata, penganjuran MATTA Fair selama dua hari itu juga akan turut memberi peluang kepada pengunjung menyertai cabutan bertuah apabila membuat pembelian minimum RM100.

Jelasnya, pameran dan jualan akan dibuka kepada orang ramai seawal jam 10 pagi hingga 9 malam manakala perasmiannya dijangka akan disempurnakan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan terperinci mengenai MATTA Fair Perak ke-33 menerusi Facebook rasmi MATTA Fair Perak atau Instagram @mattaperak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!