Hari Kebangsaan, Hari Sabah titik penyatuan rakyat Malaysia - Hajiji

Hajiji (kiri) melancarkan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2024 peringkat negeri di pekarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada Khamis. Foto Bernama
Hajiji (kiri) melancarkan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2024 peringkat negeri di pekarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang bakal diraikan bersama pada 31 Ogos ini diharap mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, beliau berharap tiada kekeliruan timbul berkenaan dua sambutan itu dan Hari Sabah adalah penting bagi memperingati Sabah bebas daripada pemerintahan British pada 31 Ogos 1963, serta permulaan kepada Negeri Di Bawah Bayu itu untuk bersama membentuk Malaysia pada 16 Sept 1963.

"Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna kerana Sabah akan turut meraikan bersama Hari Sabah setelah kerajaan negeri pada Jun lepas mewartakan untuk memperingati hari bersejarah itu.

"Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan sahaja mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah. Namun, lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta," katanya di sini pada Khamis.

Hajiji bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah ketika melepaskan Konvoi Merdeka. Foto Bernama
Hajiji bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah ketika melepaskan Konvoi Merdeka. Foto Bernama

Hajiji berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2024 di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya.

Pada majlis sama, Hajiji turut melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Sabah yang akan menjelajah ke pelusuk negeri ini dan dijadual memulakan perjalanan pada 8 Ogos dan berakhir 26 Ogos ini.

Hajiji berkata, 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, menggambarkan komitmen untuk terus membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Tema ini juga membawa maksud pentingnya untuk kita memastikan kemakmuran dan kemajuan di samping menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi," katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera itu, Hajiji menyeru kepada rakyat di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta kenderaan sepanjang sambutan itu sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan.

"Sudah pasti dengan adanya semangat dan komitmen yang tinggi untuk sama-sama menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang dan bendera negeri akan sentiasa berkibar dengan megah sebagai bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan dan mengisi nikmat kemerdekaan," katanya.

Hajiji berkata, pelbagai program dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan tahun ini, antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti Peringkat Parlimen dan DUN.

"Bulan kebangsaan bukan sekadar perayaan semata-mata, ia juga merupakan peluang untuk kita menyantuni rakyat, mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum negeri ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!