[VIDEO] Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 mula beroperasi hari ini

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang sebelum ini ditangguhkan operasi pada Julai lalu kini dibuka kepada pengunjung bermula Khamis.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pada peringkat permulaan terdapat 15 peratus daripada 110 peniaga telah membuka perniagaan untuk menerima pelanggan.

Menurutnya, antara perniagaan yang terlibat ialah kedai barangan kemas, peralatan dapur, cenderahati serta barangan kraftangan.

Wan Sukairi (kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif meninjau operasi kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang mula beroperasi pada Khamis. Gambar kecil: Amira, Wan Fauzi
Wan Sukairi (kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif meninjau operasi kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang mula beroperasi pada Khamis. Gambar kecil: Amira, Wan Fauzi

"Apabila kompleks ini dibuka secara rasmi pada hari ini, saya percaya peniaga-peniaga barangan lain juga akan mempercepatkan proses ubah suai kedai mereka untuk menerima kedatangan pengunjung.

"Bagi kedai pakaian di tingkat satu, kita jangka ia akan mula beroperasi dalam tempoh sebulan lagi iaitu pada 1 September depan kerana proses ubah suai untuk lot perniagaan mereka sedang berjalan buat masa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi hari pertama Kompleks Pasar Payang 1, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, proses permohonan peniaga baharu di kompleks berkenaan akan dibuka pada 4, 5 dan 6 Ogos depan melibatkan perniagaan barangan kemas, cenderamata, barangan serbaneka serta makanan dan minuman.

"Buat masa ini proses perpindahan dan operasi perniagaan berlaku secara berperingkat melibatkan peniaga sedia ada di Pasar Payang 2.

Artikel Berkaitan:

"Untuk peniaga baharu ini kita akan lakukan secara berperingkat bermula dengan proses permohonan dahulu," katanya.

Sebahagian peniaga di kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 telah mula menyusun barangan dan bersedia menerima kedatangan pelanggan.
Sebahagian peniaga di kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 telah mula menyusun barangan dan bersedia menerima kedatangan pelanggan.

Ditanya berhubung isu rungutan peniaga terhadap kadar sewa yang tinggi, katanya perkara itu sudah tidak timbul memandangkan ramai peniaga berebut-rebut untuk mendapatkan lot perniagaan di situ.

"Kalau ikutkan kita terima hampir 1,000 permohonan untuk mendapatkan lot niaga di sini dan kita percaya harga sewa yang ditetapkan itu sudah berpatutan dengan lokasi dan fasiliti yang disediakan.

"Jadi dengan sambutan pengunjung yang sentiasa ada di sini kita yakin kadar yang dikenakan itu adalah munasabah dan mampu dibayar oleh peniaga," ujarnya.

Sementara itu, peniaga barangan kraftangan, Amira Mohd Yusooff, 26, berkata, dia bersyukur kerana premis tersebut telah mula beroperasi hari ini.

"Lokasi perniagaan baharu ini lebih selesa dan luas sesuai dengan perniagaan barangan kraf yang saya jalankan antaranya angklung, perhiasan rumah, anyaman serta barangan berasaskan rotan dan mengkuang.

"Saya harap lokasi ini akan kekal dan lebih ramai pengunjung yang akan mengunjungi premisnya di situ,"katanya.

Seorang lagi peniaga, Wan Fauzi Wan Sulong, 58, berkata, lokasi perniagaan baharu itu amat strategik dan mudah untuk dikunjungi pelanggan.

"Saya bersyukur selepas beberapa lama menunggu dan membuat persiapan akhirnya hari ini kompleks pasar baharu ini telah mula beroperasi hari ini.

"Saya juga berharap agar lokasi baharu ini akan terus menerima kunjungan pelancong sama ada tempatan dan dari luar Terengganu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!