Pembunuhan Ismail Haniyeh bukti kekejaman rejim Israel - Yadim

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh oleh rejim Zionis.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh oleh rejim Zionis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu menjadi bukti jenayah Israel kepada seluruh dunia yang seharusnya bersatu menentang kekejaman rejim terbabit.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, tindakan rejim Zionis yang berulang kali melakukan serangan sejak puluhan tahun lalu dan melakukan pembunuhan atas alasan mempertahankan diri sangat tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, kejadian menimpa Ismail Haniyeh disifatkan sebagai malang kerana nyawa seorang pemimpin berjiwa besar yang berjuang tanpa henti demi kebebasan, diragut begitu sahaja.

"Ismail Haniyeh menjadi satu simbol perjuangan dan kehidupannya penuh dengan pengorbanan serta komitmen bagi membela nasib rakyat Palestin demi menuntut kemerdekaan serta keadilan.

"Yadim dan pendakwah di negara ini menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh atas tragedi pembunuhan ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan kematian Ismail Haniyeh di Teheran, Iran dengan pihak Hamas mendakwa dilakukan oleh Israel dan Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh bersama seorang pengawal peribadinya.

Hasanuddin mengulas lanjut berkata, kehilangan pemimpin terbabit akan ditangisi ramai, namun semangat perjuangannya akan kekal dalam setiap individu yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin.

"Yadim yakin, akan lahir lebih ramai Ismail Haniyeh dan akan bangkit dengan lebih teguh bagi meneruskan legasi beliau serta memastikan pengorbanannya tidak sia-sia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!