Pembunuhan Ismail Haniyeh ancam cetuskan peperangan serantau di Timur Tengah

Mohamad tidak dapat menahan kesedihan ketika menyampaikan ucapan berhubung insiden pembunuhan Haniyeh pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
Mohamad tidak dapat menahan kesedihan ketika menyampaikan ucapan berhubung insiden pembunuhan Haniyeh pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mempunyai beberapa implikasi yang amat besar terhadap kestabilan dan keamanan global, yang mewujudkan ancaman tercetus peperangan serantau di Timur Tengah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, seluruh barisan kepimpinan serta rakyat Malaysia bersolidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Haniyeh.

"Pembunuhan ini telah secara langsung menyumbang kepada ‘escalation of the war’. Ia menjadikan prospek perang di Gaza terus membarah, dan mengheret pelbagai negara di Timur Tengah ke kancah peperangan.

"Ini akan menjadikan dunia berhadapan krisis keselamatan global yang lebih meruncing seterusnya mengancam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi dunia serta kesejahteraan manusiawi,” katanya ketika membaca pernyataan beliau untuk usul solidariti bersama rakyat Palestin di Dewan Negara, pada Khamis.

Pernyataan itu adalah sebagai respons pembunuhan kejam Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dalam satu serangan udara yang menyasarkan kediamannya di Tehran, Iran pada Rabu.

Mohamad berkata, pembunuhan Haniyeh yang merupakan perunding utama gencatan senjata itu juga telah membantutkan usaha untuk mencapai gencatan senjata dan mewujudkan keamanan yang kekal di Palestin.

Mohamad menyampaikan ucapan berhubung insiden Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama
Mohamad menyampaikan ucapan berhubung insiden Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

"Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata dapat diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata itu dibunuh dengan kejam. Semua ini jelas menunjukkan matlamat sebenar rejim Israel iaitu untuk meneruskan agenda genosid, kezaliman dan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Yang terbunuh kali ini bukan sahaja seorang pemimpin utama Palestin, tetapi juga prospek untuk keamanan yang kekal,” katanya.

Mohamad Hasan berkata, kerajaan Malaysia berpandangan bahawa usaha untuk mencegah konflik di Palestin dari terus memuncak bukan sahaja gagal, tetapi telah menemui jalan buntu.

Beliau berkata, kerajaan menjangka terdapat tindak balas yang tidak dapat dibendung susulan pembunuhan Haniyeh, yang pasti akan menyebabkan lebih banyak korban, kemusnahan dan penderitaan.

Mohamad berkata, Malaysia kekal menjadi negara yang waras dan pro-kemanusiaan berhubung isu itu dan akan konsisten dalam mempertahankan sokongan serta pendirian terhadap pembebasan Palestin.

"Kita tegas bahawa pencerobohan dan penjajahan rejim Zionis Israel ke atas Palestin adalah penindasan yang nyata, melanggar undang-undang antarabangsa dan zalim.

"Malaysia teguh dengan penegasan dasar luar kita bahawa hak dan kepentingan rakyat Palestin, mesti diperjuangkan, dalam setiap forum, dalam setiap ketetapan, usul dan tindakan di peringkat nasional dan juga antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyokong setiap segmen, kelompok dan perikatan politik kebangsaan Palestin sebagai wakil yang sah untuk bangsa Palestin dan menganggap mereka sebagai pejuang kemerdekaan dan pembebasan yang sah dan mesti dihormati.

"Mereka yang menentang pendirian sedemikian adalah mereka yang diskriminatif dan sengaja membutakan mata dan akal dari segala fakta dan kebenaran,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Negara bertafakur selama seminit untuk menghormati pemergian Haniyeh selepas Mohamad membuat penerangan berhubung perkara tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 89 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara sebelum usul tersebut dibahas oleh empat Senator. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!