Atlet OKU didakwa rogol remaja bawah umur

Seorang atlet OKU didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis atas tuduhan merogol remaja bawah umur, tahun lepas.
Seorang atlet OKU didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis atas tuduhan merogol remaja bawah umur, tahun lepas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang atlet orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.

Ainur Haikal Danial Bahrudin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Atlet OKU negeri kategori penglihatan itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur 15 tahun di Taman Kemang Tiruk, Serada di sini pada 30 September 2023 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh namun peguam Najmi Adila Md Nasir daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah.

Najmi Adila berkata, anak guamnya menanggung bapanya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM1,200 sebulan, manakala ibunya juga seorang OKU kategori lembam.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin kemudian membenarkan jaminan RM7,000 selain mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes dan keluarga tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!