UEM Group lantik Hisham sebagai Pengerusi, Amran selaku Pengarah urusan

Amran Hafiz Affifudin, Hisham Hamdan
Amran Hafiz Affifudin, Hisham Hamdan
A
A
A

UEM Group Berhad (UEM Group), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), mengumumkan pelantikan Datuk Hisham Hamdan sebagai Pengerusi dan Datuk Amran Hafiz Affifudin selaku Pengarah Urusan yang berkuat kuasa bermula 1 Ogos 2024.

Ia susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Izani Ghani selaku Pengarah Urusan yang telah berkhidmat selama lima tahun bermula 2019 dan berakhir pada 21 Julai 2024.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Hisham mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam menguruskan dan mengembangkan portfolio Khazanah Nasional merangkumi pelbagai aset serta mandat.

Menurutnya, pelantikan Hisham selaku Pengerusi merupakan perkara penting dalam menjayakan strategi memajukan Malaysia.

Jelasnya, sejak 2018, Hisham telah berkhidmat selaku Ketua Pasaran Awam di Khazanah Nasional yang mempunyai mandat untuk melabur lebih 10 negara di seluruh dunia termasuk pasaran maju dan pasaran berkembang dipandu oleh strategi pelaburan sistematik serta quantamental.

“Sebelum menerajui pasaran awam, beliau bertanggungjawab bagi portfolio Khazanah Nasional dalam bidang Auto, Agrimakanan dan Iskandar Malaysia serta berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Penyelidikan.

“Beliau juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) dan Ahli Lembaga Pengarah Iskandar Investment Berhad selain pernah berkhidmat selaku Pengerusi UEM Sunrise Berhad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khazanah Research Institute (KRI).

“Sebelum menyertai Khazanah pada 2011, beliau merupakan Ketua Strategi di Sime Darby dan kemudiannya berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif bagi perniagaan Sime Darby dalam sektor penjagaan kesihatan selain utiliti serta China.

Artikel Berkaitan:

“Hisham memulakan 12 tahun pertama kerjaya beliau sebagai penganalisis ekuiti dan pegawai pelaburan perbankan,” katanya pada Khamis.

Sementara itu, Amirul Feisal berkata, sebelum pelantikan tersebut dibuat, Amran Hafiz merupakan Pengerusi UEM Group dan telah berkhidmat selaku Pengarah Eksekutif serta Ketua Pelaburan Malaysia di Khazanah Nasional.

UEM Group
UEM Group

Menurutnya, dengan memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam pelaburan Khazanah Nasional merentasi pelbagai sektor termasuklah tenaga, riadah dan pelancongan, infrastruktur, kuasa, agrimakanan serta pembangunan lestari dalam memacu pertumbuhan selain meluaskan operasi UEM Group.

“Selaku Pengarah Urusan sayap infrastruktur Khazanah, Amran Hafiz akan menerajui agenda pelaburan tempatan Khazanah dalam bidang infrastruktur.

“Beliau juga akan memacu pertumbuhan dan meluaskan operasi UEM Group dalam bidang tenaga baharu untuk mempercepatkan dekarbonisasi bandar dan taman industri selain memperkasakan pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai dalam kalangan anak-anak syarikat UEM Group,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!