Beruang matahari sesat cari makanan berjaya ditangkap
KUALA TERENGGANU - Seekor beruang matahari jantan yang dikesan berkeliaran berdekatan kawasan perumahan penduduk berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, haiwan liar yang dipercayai sesat sekitar daerah Kuala Terenganu dan Kuala Nerus berjaya ditangkap menggunakan kaedah pelali sekitar jam 12.50 tengah malam Rabu.
"Seramai lapan anggota Perhilitan negeri dan dari daerah Kuala Terengganu terlibat dalam operasi itu di sekitar Kampung Jati dekat Gong Badak, Kuala Nerus.
"Hasil pemeriksaan awal, kita percaya ini adalah beruang yang sama dengan beruang tular di media sosial berdasarkan beberapa ciri pada beruang tersebut iaitu parut dan bengkak pada bahagian belakang badannya," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Tambah Kean Seong, pihak Perhilitan terpaksa memasang perangkap kerana haiwan itu dikesan sentiasa bergerak dan tidak merayau di merata tempat dan dikhuatiri mengganggu penduduk.
Katanya, beruang matahari seberat 90 kilogram (kg) itu akan dilepaskan ke hutan simpan yang sesuai dengan kemandirian haiwan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merakam penghargaan kepada masyarakat yang prihatin dan sentiasa menyalurkan maklumat mengenai penemuan haiwan liar.
"Perhilitan Terengganu berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa prihatin dan membuat aduan mengenai beruang ini hingga berjaya menemuinya dalam keadaan selamat.
"Orang ramai juga boleh maklumkan sebarang penemuan haiwan liar melalui WhatsApp di talian hotline Perhilitan iaitu 60 11-6498 9551," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!