6 Projek Klinik Daif bernilai RM2.34 juta di Gua Musang

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan enam Projek Klinik Daif di daerah ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.34 juta, tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek pembaikan dan naik taraf fasiliti kesihatan awam sedang dijalankan itu melibatkan tiga klinik kesihatan (KK), dua klinik desa (KD) dan satu klinik pergigian (KP).

“Kerajaan khususnya KKM memberi perhatian yang serius untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di daerah Gua Musang.

“Tahun ini, enam projek sedang dilaksanakan melibatkan KK Bertam, KK Jerek, KK Kuala Betis, KP di KK Jeram Tekoh, KD Renok Baru dan KD Pulai dengan jumlah kos keseluruhan bernilai RM2.34 juta,” katanya selepas merasmikan Kem Kesihatan Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas di Dewan Komuniti Jeram Tekoh, di sini, pada Khamis.'

Beliau berkata, selain itu, kerja-kerja naik taraf, ubah suai dan pembaikan kecil fasiliti kesihatan primer di daerah Gua Musang juga dilaksanakan secara berterusan melalui peruntukan pembangunan saban tahun.

Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) di barisan hadapan bergambar bersama penduduk di Jeram Tekoh, Gua Musang.
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) di barisan hadapan bergambar bersama penduduk di Jeram Tekoh, Gua Musang.

Dr Dzulkefly memberitahu, bagi Program Perubatan pula, Hospital Gua Musang memulakan perkhidmatan kepakaran secara berfasa sejak Mac 2022 dengan kini terdapat sembilan jenis perkhidmatan kepakaran ditawarkan.

“Seramai 15 orang pakar siap sedia berkhidmat kepada pesakit-pesakit di daerah Gua Musang selain dilengkapi perkhidmatan Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) yang dimulakan operasi sejak 30 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya kepakaran dan CT scan ini, rujukan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai akan semakin berkurangan,” kata beliau.

Menurutnya, HSIP pula turut memulakan perkhidmatan kepakaran Neurosurgery bermula Julai lalu dengan menggunakan tenaga pakar dari Hospital Sultanah Zainab Kuala Terengganu secara lawatan dua kali sebulan.

“Pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat khususnya di daerah Gua Musang.

Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) ketika lawatan kerja di Gua Musang.
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) ketika lawatan kerja di Gua Musang.

“Dijangka ada beberapa projek lagi akan dipertimbang dan diluluskan hasil dari lawatan kerja saya hari ini,” katanya.

Tambah Dr Dzulkefly, di bawah projek Klinik Daif tahun lalu, sebanyak tiga projek pembaikan dan naik taraf fasiliti kesihatan dilaksanakan di KK Bandar Gua Musang, KK Jeram Tekoh, KK Aring, KP Gua Musang, dan KP Chiku 3 dengan kos keseluruhan RM1.07 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!