Kerangka awal kawal selia perkhidmatan pesanan internet, media sosial diwartakan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

CYBERJAYA - Kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial diwartakan pada hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan memaklumkan, kawal selia yang dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan itu sebagai usaha kerajaan untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan, judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Semasa tempoh penangguhan (grace period) iaitu daripada 1 Ogos sehingga 31 Disember depan, SKMM akan membangunkan garis panduan komprehensif bagi memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab yang mesti dipatuhi oleh pemberi perkhidmatan tersebut di Malaysia," kata kenyataan itu pada Khamis.

Antara lain, ujar SKMM, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan.

Selain itu, langkah untuk memudahkan prosedur aduan pengguna dan mengurangkan tempoh maklum balas serta langkah menguruskan ‘deepfakes’ serta kandungan berbahaya yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI), juga perlu diberi penekanan oleh pemberi perkhidmatan tersebut.

Justeru, rundingan awam akan dijalankan untuk membangunkan garis panduan tersebut.

"Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan," katanya.

Dalam pada itu, SKMM menegaskan pengguna menggunakan perkhidmatan disediakan tidak akan terkesan dengan kerangka kawal selia ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia hanya melibatkan pemberi perkhidmatan sahaja contohnya, Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X dan YouTube yang dikehendaki untuk mendapatkan lesen daripada MCMC, jika memenuhi kriteria pelesenan," kata kenyataan itu.

Ujar suruhanjaya berkenaan, pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan.

"Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian," kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!