Kanak-kanak perempuan dua tahun maut terjatuh dari tingkat 16

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya di Johor Bahru, pada Selasa. Gambar kecil: Raub
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya di Johor Bahru, pada Selasa. Gambar kecil: Raub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan mengenai kejadian diterima pada jam 9.16 malam.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian disedari oleh ahli keluarga mangsa yang juga suspek pada 8.50 malam.

"Suspek merupakan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 56 tahun dan 78 tahun dan memiliki hubungan rapat dengan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa bersama ahli keluarga baru selesai beriadah di kolam renang pangsapuri berkenaan.

"Selepas itu, mangsa dibawa balik ke rumah di tingkat 16, pangsapuri berkenaan oleh kedua-dua suspek sementara menunggu ibu mangsa bersama ahli keluarga lain yang ke pusat dobi terletak di aras tujuh pangsapuri berkenaan.

"Ketika berada di dalam rumah, kedua-dua suspek meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu untuk menunaikan solat.

"Selepas selesai menunaikan solat kedua-dua suspek mendapati mangsa tiada di dalam rumah dan hasil pencarian, kedua-dua suspek mendapati mangsa terjatuh di aras lapan pangsapuri itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Raub berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari aras 16 ke aras lapan pangsapuri itu menerusi tingkap bilik tidur yang terbuka serta tidak dipasang jeriji.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk dibedah siasat," katanya.

Jelas Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus di talian 07-2182323," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!