Kon Yeow jumpa keluarga Jagdeep esok

Kon Yeow (kiri), Jagdeep
Kon Yeow (kiri), Jagdeep
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan berjumpa dengan keluarga Jagdeep Singh Deo bagi mengetahui keadaan kesihatan semasa Timbalan Ketua Menteri II itu.

Kon Yeow berkata, selain itu beliau juga akan membincangkan mengenai lanjutan cuti sakit bagi membolehkan Jagdeep menjalani rawatan sehingga benar-benar sembuh.

Menurutnya, beliau juga menerima maklumat mengenai keadaan Jagdeep menerusi ahli keluarganya dari semasa ke semasa untuk mengetahui keadaan terkini Exco kerajaan negeri itu.

"Saya menerima maklumat dari semasa ke semasa daripada ahli keluarganya dan didapati Jagdeep berada dalam keadaan pemulihan selain terus menerima perhatian doktor yang merawat.

"Mengenai cuti yang akan berakhir pada 5 Ogos ini, saya akan bertemu dengan ahli keluarganya esok. Saya juga telah melaporkan dalam mesyuarat Exco. Sekiranya doktor memberi lanjutan cuti, saya berharap surat lanjutan cuti diberikan untuk kelulusan.

"Ia bagi membolehkan Jagdeep meneruskan rawatan sehingga satu tempoh yang doktor merasakan beliau boleh balik bekerja dan melaksanakan kerja-kerja beliau," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia untuk memberi kelulusan sekiranya Jagdeep memerlukan lanjutan tempoh cuti bagi membolehkannya menerima rawatan sehingga sembuh.

"Sebenarnya saya ada berjumpa dengan Jagdeep sebelum beliau mula bercuti, sekiranya beliau memerlukan lanjutan tempoh bercuti, pihak saya akan menimbang untuk meluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi membolehkan beliau dapat menjalani rawatan secara sekali gus untuk cepat sembuh," katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi Jagdeep diarahkan bercuti daripada tugasnya di dalam pentadbiran negeri.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menegaskan bahawa Kon Yeow yang memberi kelulusan untuknya bercuti bagi mendapatkan rawatan lanjut bahagian buku lali yang sakit.

Sehubungan itu, Kon Yeow juga menafikan dakwaan akan berlaku pertukaran jawatan pentadbiran negeri itu susulan cuti panjang diberi kepada Jagdeep.

Beliau sebaliknya menjelaskan, telah meluluskan cuti selama 11 hari kepada Jagdeep bagi membolehkannya mendapatkan rawatan kaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!