Perkasa program Desa Pintar: Rina
KUALA LUMPUR- Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan MARA-Japan Industrial (MJII) di bawah Majlis Amanah Raya (MARA) dipilih sebagai perintis Program Desa Pintar, sebuah inisiatif bertujuan memperkasa ekonomi luar bandar melalui digitalisasi dan pelaksanaan teknologi canggih.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata program dengan kerjasama Maxis Broadband Sdn Bhd itu antara lain akan melihat pengenalan program Smart Classroom di MJII dengan keseluruhan kampusnya dipasang wifi Maxis.
"Rakan strategik kementerian bagi program ini telah melaksanakan Proof of Concept untuk Smart Classroom di Tabika Kemas Sri Siantan, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan juga di MJII, Beranang bagi melihat keberhasilan pembelajaran ke hadapan dengan menggunakan kaedah Augmented Reality sebagai salah satu platform pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Rina yang hari ini mengadakan lawatan kerja ke MJII Beranang, Selangor, menganggap kerjasama antara kementerian dan industri seperti program berkenaan adalah satu pendekatan yang terbaik.
“Ini kerana pemain industri mempunyai pelbagai pengalaman yang dapat dikongsi bersama masyarakat di luar bandar dalam meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pelbagai aspek seperti pendidikan, bimbingan dan latihan," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!