MATTA Fair edisi ke-55 sasar jualan RM250 juta

Nigel ketika menyampaikan taklimat mengenai MATTA Fair edisi ke-55 yang turut dihadiri Farah (duduk, dua dari kanan).
Nigel ketika menyampaikan taklimat mengenai MATTA Fair edisi ke-55 yang turut dihadiri Farah (duduk, dua dari kanan).
A
A
A

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan keseluruhan RM250 juta menerusi pameran edisi ke-55 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 September depan.

Presidennya, Nigel Wong berkata, festival jualan tiket pelancongan yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu dijangka menarik kehadiran 200,000 pengunjung.

Menurutnya, pameran pelancongan tersohor itu juga menyediakan pelbagai promosi perjalanan dan percutian dengan 1,590 reruai untuk ditawarkan kepada pengunjung yang hadir.

"Susulan kejayaan MATTA Fair yang diadakan pada Mac lalu yang menyaksikan kedatangan 180,000 pengunjung dan menjana jualan sebanyak RM230 juta, jadi kami menyasarkan jualan lebih tinggi untuk pameran yang akan berlangsung September ini.

"MATTA Fair yang bakal berlangsung nanti akan menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pengunjung dengan tawaran pelancongan yang lebih banyak serta destinasi baharu.

"Matlamat kami ialah untuk menarik 200,000 pengujung dan menjana jualan RM250 juta bagi pameran yang akan berlangsung pada September ini," katanya dalam satu sesi taklimat yang berlangsung pada Rabu.

Taklimat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian, Azmi Tarmizi.

Nigel menambah, semua peserta pameran pelancongan dan pengembaraan yang mengambil bahagian mempunyai lesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali gus memberi keyakinan kepada pengunjung untuk membeli pakej yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pameran MATTA ini, kami mempunyai rakan kongsi yang kuat, seperti Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Pelancongan Sarawak, Malaysia Airlines, RHB, Taiwan, dan Amadeus. Sokongan mereka tidak ternilai dalam membantu menjadikan acara ini satu lagi kejayaan besar," katanya.

Ujarnya, pameran ini nanti akan dibuka kepada orang ramai dengan kemasukan percuma dari 10 pagi hingga 9 malam selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kebolehcapaian, MATTA menggalakkan pengunjung menggunakan perkhidmatan ulang-alik percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall.

Selain itu kata Nigel, pameran kali ini juga akan menampilkan Ekspo Bakat MATTA ke-2, yang terletak di Aras 1, di tempat tersebut.

Ekspo ini katanya, akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan peluang dalam industri pelancongan, dengan banyak jenama, organisasi dan syarikat terkemuka yang mengambil bahagian di ekspo untuk mencari bakat baharu, dan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran kakitangan semasa menjadi bakat terlatih yang lebih baik untuk industri.

"Kami menantikan pameran MATTA yang hebat dan menarik serta turut berterima kasih atas sokongan berterusan pihak media yang membantu mempromosikan pameran pelancongan terbesar di negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!